Jangan gantung tengkuk!

SEPERTI biasa setiap pagi saya akan singgah di kedai runcit berdekatan rumah. Tujuan tak lain untuk membeli surat khabar. Saya akan beli sekurang-kurangnya empat naskhah akhbar setiap hari.

Saya lebih selesa membaca akhbar bercetak. Lebih fokus berbanding membaca secara digital. Walaupun saya membaca akhbar digital tetapi fokusnya tidak sama. Ada sahaja gangguan, kadang-kadang ada panggilan masuk, WhatsApp kerja dan godaan klik pautan yang lain pula.

Sedang ralit membelek akhbar, saya teringat pula aktivis hebat Pak Din. Sebenarnya saya baru berjumpa beliau beberapa minggu lalu setelah sekian lama tidak berjumpa.

Beliau seperti biasa aktif bercakap cuma kelihatan badannya tidak seperti dahulu.

Saya bertanya: “Pak Din masih aktif sertai perhimpunan itu ini?”

“Tak berapa nak aktif selepas PKP. Lagipun badan tak berapa sihat. Banyak berehat sahaja,” jawab Pak Din tersenyum.

Saya terjumpa Pak Din secara tidak sengaja ketika membeli akhbar di kedai runcit. Beliau menepuk bahu saya dan terus bertanya tanpa mukadimah.

“Apa dah jadi isu perjuangan mansuhkan hukuman mati?” tanya Pak Din beria-ia. Walaupun saya bukanlah kaunter pertanyaan tetapi saya menjawab dengan berhemah.

“Oh, entahlah Pak Din, tak dengar cerita pula. Mungkin lepas ni adalah yang akan dibentangkan,” kata saya beria-ia juga. Seperti biasa kerana lama tidak berjumpa, saya mengajaknya minum dan Pak Din menurut sahaja.

“Aku sokong mansuhkan hukuman mati tu, lagipun hukuman mati bukan penyelesaian untuk mencegah jenayah. Perlu ada pendekatan lain yang boleh dicari,” kata Pak Din lagi.

“Bagaimana pula dengan mangsa? Bukankah ia satu ketidakadilan juga?” tanya saya pula untuk mendengar pendapat Pak Din.

“Ya, memang kita bersimpati dengan mangsa, cuma tujuan hukuman ini adalah untuk mencegah jenayah. Kalau ia boleh mencegah jenayah, mungkin eloklah dikekalkan, yang penting tujuan hukuman itu,” jawab Pak Din yang tidak mahu kalah dalam berhujah.

Sambung Pak Din lagi: “Sekarang ini dunia dipenuhi dengan bermacam jenis kejadian jenayah pelik. Duduk dalam rumah sendiri pun dah tak selamat sekarang.”

Saya hanya mengangguk-angguk menyetujui kata-kata Pak Din. Saya ada membaca dalam surat khabar. Bapa lacurkan anak, suami pukul isteri, laki bunuh bekas isteri, rogol anak kandung dan bermacam lagi. Membacanya sahaja pun menyesakkan nafas.

Kalau dalam rumah sendiri tidak selamat, apatah lagi di luar, lebih-lebih apabila jenayah melibatkan golongan wanita. Kejadian rogol selalu kita baca dalam akhbar-akhbar dan pelbagai teori keluar kenapa berlakunya rogol.

Seksi

Ada yang kata disebabkan perempuan berpakaian seksi dan sebagainya tetapi kalau dengan anak sendiri pun berlaku, takkan disebabkan berpakaian seksi sahaja. Yang betulnya sebab otak mungkin sudah tidak boleh berfikir yang baik dan buruk.

Sambil meneguk teh ais, saya bertanya kepada Pak Din lagi: “Sekarang Pak Din buat apa?”

“Aku sekarang tolong bini aku jual produk kecantikan. Biasalah nak hidup. Dapatlah komisen serba sedikit,” jawab Pak Din ketawa dan dengan pantas mengeluarkan sesuatu daripada beg sandangnya.

“Ini produk cerahkan muka. Ada tiga jenis. Pakai tiga kali sehari. Basuh muka, sembur kemudian sapu. Nanti muka kau akan bercahaya seperti orang beriman,” kata Pak Din ketawa berdekah-dekah.

Saya turut ketawa dan terkejut apabila diberitahu harganya. Walaupun begitu atas niat membantu, saya membelinya juga dan bercadang menghadiahkan kepada isteri.

“Tapi, walaupun aku sebenarnya setuju dimansuhkan hukuman mati, aku berharap juga dikekalkan hukuman ini untuk satu golongan jenayah,” sambung Pak Din sambil mengetap bibir.

“Golongan mana pula tu Pak Din?” tanya saya.

“Golongan jenayah haruan makan anak. Gantung sahaja sampai mati tapi jangan gantung tengkuk. Gantung kat anu dia, baru padan!,” kata Pak Din serius.

SH

Aktiviti pelancongan program Gelembung Pelancongan Bersasar – Zahid Hamidi

Related Articles

One Comment

  1. iya, gantung sampai putus anunya….selagi tak putus tak boleh diturunkan badan yang sedang terapung
    apapun ianya menyiksakan jadi disarankan berkhatan untuk sekali lagi dengan libasan sepantas kilat pedang samurai

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker