Solat Jumaat pertama di Hagia Sophia hari ini
Hagia Sophia akan dibuka semula pada 24 Julai bagi umat Islam menunaikan ibadah buat pertama kalinya selepas 86 tahun dengan penganjuran solat Jumaat pertama.
Dalam sidang media pada Khamis, Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya memaklumkan orang ramai tidak sabar untuk menantikan detik bersejarah itu.
Bagaimanapun, susulan penularan COVID-19 di negara itu, langkah-langkah pencegahan penularan sudah dilakukan termasuk menyediakan ruang solat berbeza bagi mengelakkan orang ramai berkumpul pada satu-satu masa.
Mereka yang akan melakukan solat berjemaah di masjid tersebut juga dikehendaki untuk membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka.
Bagi langkah-langkah keselamatan pula, kawalan ketat sudah dirancang termasuk penutupan beberapa stesen kereta api sebelum dan ketika solat Jumaat sedang berlangsung.
Terdahulu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengumumkan penukaran Hagia Sophia setelah mahkamah membatalkan status muzium di tapak tersebut.
Bangunan Hagia Sophia – atau Ayasofia – itu asalnya dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.
Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Turki menjadikannya muzium pada 1934.
Lebih 50 tahun kemudian Hagia Sophia itu diiktiraf UNESCO sebagai sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul. Awani
You must be logged in to post a comment.