Lelaki ditahan cuba seludup 15 ekor lembu menjelang Aidiladha

Bunyi percikan air yang meragukan membongkar kegiatan tiga lelaki yang sedang mengheret lembu dari Sungai Golok menuju ke kawasan Malaysia disyaki untuk dijual secara haram di negara ini menjelang sambutan Aidiladha.

Hasil rondaan oleh sub-unit tentera ke arah Sungai Golok berjaya mematahkan penyeludupan dan menyelamatkan 15 ekor lembu yang nyaris menjadi mangsa kegiatan haram tersebut.

Markas Briged Ke-8 Infantri Malaysia Kem Pengkalan Chepa, Kelantan dalam satu kenyataan berkata, operasi pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja di lokasi Kampung Rahmat, Tanjung Baru Rantau Panjang berjaya mengesan dan mematahkan percubaan itu jam 6.40 petang semalam.

“Pasukan telah melaksanakan serbuan terhadap kumpulan lelaki tersebut tetapi cuma berjaya menahan seorang lelaki manakala dua lelaki lain berjaya meloloskan diri.

“Hasil dari serbuan dan pemeriksaan mendapati sebanyak 15 ekor lembu dan dua buah
motosikal jenama Honda berjaya dirampas yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah
RM 78,500.00,” kata pasukan tersebut.

Tambah pasukan itu lagi, seorang suspek yang telah ditahan itu dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu.

Selain itu, katanya 15 ekor lembu dan dan barang rampasan lain diserahkan kepada pihak MAQIS Rantau Panjang.

“Lembu yang cuba diseludup ini berkemungkinan akan dijual di Malaysia memandangkan
harga lembu yang murah dari Thailand dan mempunyai permintaan yang tinggi oleh pembeli di Malaysia.

“Rampasan secara besar-besaran ini jelas memperlihatkan hubungkait bahawa penyeludupan lembu ini dijangka akan berulang berikutan sambutan Hari Raya Aidiladha akan disambut tidak lama lagi.

“Penduduk tempatan dimohon untuk terus memberi sokongan kepada pasukan keselamatan di sempadan dengan menjadi mata dan telinga dalam penyaluran sebarang maklumat jenayah rentas sempadan demi mencegah sebarang anasir yang boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker