Keyakinan politik Najib
BARISAN Nasional (BN) kini dikatakan telah mendominasi alam maya sejak fenomena ‘Bossku’ seolah-olah mendapat kembali kepercayaan daripada rakyat. Malah, gabungan Muafakat Nasional (MN) dilihat menjadi selepas kejayaan enam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang disapu bersih oleh BN.
Ikuti temu bual secara langsung oleh moderator, Haslina Kamaludin bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Program Sinar Live bertajuk Apa Khabar Bossku? bagi mengupas lebih banyak isu berkaitan polemik politik negara termasuk sudut pandang Ahli Parlimen Pekan itu terhadap isu-isu terkini.
SINAR HARIAN: Sebelum kita ke soalan-soalan politik dan sebagainya, saya lihat Datuk Seri masuk ke studio ini, auranya lain. Kita tengok badan Datuk Seri nampak fit. Mungkin Datuk Seri boleh cerita sedikit apa rahsia kelihatan segar dan lebih muda.
NAJIB: Saya mengamalkan cara hidup yang sihat. Salah satu daripada rutin saya adalah untuk menjalani senaman dan workout. Saya ada seorang trainer kerana kalau kita hendak buat workout tidak ada trainer, kita (akan) mengelat, dan kedua tiada orang yang (akan) motivate kita. Kita juga tidak meletakkan sasaran lebih tinggi yang sebenarnya boleh dicapai. Jadi itu salah satu usaha yang saya lakukan.
Yang kedua, saya jaga pemakanan dan amalan sebab susah bagi orang politik ini. Kita pergi mana-mana pun kadang-kadang dalam waktu Pilihan Raya Kecil, Pilihan Raya Umum sedikit sebanyak kena makan juga. Tidak makan yang dihidang nanti dia orang kecil hati. Jaga jumlah yang kita makan dan apa yang kita makan.
Kalau kita imbas pada 2018, Datuk Seri pernah hadir menjadi tetamu Sinar Live dan ketika itu sebagai pemimpin pembangkang. Pada tahun 2020, Datuk Seri hadir sekali lagi sebagai barisan pemimpin parti kerajaan pula. Mungkin Datuk Seri boleh ulas sedikit perkara ini.
Satu perubahan yang saya sendiri tidak duga sebenarnya. Siapa dapat duga bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh tumbang dalam masa 22 bulan. Ini satu yang sukar barangkali untuk kita bayangkan, namun ia menjadi kenyataan. Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad berkata saya bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan PH, itu pendapat dia. Sebenarnya bukan kerana peranan saya tetapi kerana PH sudah hilang asasnya, hilang kepercayaan rakyat bila kalah lima kali berturut-turut Pilihan Raya Kecil. Kalau nak masuk Chini, (jadi) enam kali mereka dah kalah. Majoriti kekalahan itu semakin melebar umpamanya di Tanjung Piai mereka kalah 15,000 lebih, di Kimanis pun, nun jauh di Sabah pun UMNO dah bangkit semula. Jadi ini semua jadikan mereka gabra (tidak tentu arah) dalam PH. Itu asas sebab ada masalah dalaman dalam PH. Tidak kurang penting juga isu siapa hendak jadi Perdana Menteri. Mereka lupa asas sebuah kerajaan adalah untuk membela rakyat, membangunkan negara dan menentukan kesejahteraan rakyat.
Saya ingin bertanya mengenai PRK Chini walaupun sudah berakhir dan akan ke PRK Slim pula. Sebagai Pengarah Operasi BN di Chini, bagaimana Datuk Seri melihat secara keseluruhan keputusan itu walaupun kita tahu Chini adalah kubu kuat UMNO?
Pada mula kempen berjalan saya dengan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) menetapkan bahawa sasarannya mesti mendapat lebih 10,000 undi. Alhamdulillah kita mencapai 12,620 undi dan ada beberapa strategi kita lakukan tapi satu daripada aspek yang amat penting dan ini ada kaitan dengan PRU akan datang. Satu, pengaruh pengundi muda amat amat luas dan kedua pengundi luar. Pengundi luar juga faktor yang amat penting di mana 42 peratus daripada pengundi Chini adalah pengundi luar. Jadi macam mana kita hendak ada hubungan dengan pengundi luar. Kita tidak boleh adakan ceramah tambah lagi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19. Jadi semuanya telah dihadkan, telah disyaratkan. Sebab itu media sosial penting. Media sosial kita gunakan lebih daripada biasa dan ini termasuk wujudnya kumpulan Facebook menggelarkan diri mereka ABC atau Aku Budak Chini. Dalam kumpulan ini ada 15,000 (pengikut) dan pengundi pengundi luar ada dalam ini. Jadi kita dapat berhubung dengan pengundi luar. Pada hari mengundi apa yang berlaku, 2,500 pengundi luar tambahan tiba-tiba ada di depan kita. Maknanya mesej kita sampai pada pengundi luar. Jadi ini satu aspek pada pilihan raya nanti yang perlu kita beri perhatian iaitu media sosial. Yang kedua ialah peranan dan pengaruh pengundi luar dan muda.
Kalau kita lihat, kekalahan BN pada PRU14 dahulu kerana kurangnya pengaruh di media sosial. PH ketika itu sangat aktif di media sosial. Adakah dengan Datuk Seri aktif di media sosial sekarang ini bermakna sudah sampai masanya BN menggunakan semua platform media sosial ini untuk orang kata sebagai platform untuk melepaskan semua maklumat?
Saya setuju malah hari ini kita sudah boleh katakan dominasi di alam maya sudah memihak kepada BN dan rakan-rakan kita yang bersama-sama dengan kita dalam Muafakat Nasional. Kita lihat bahawa peranan kita diiktiraf melalui bukan sahaja ‘like’ atau ‘view’ tapi komennya. Saya suka baca komen. Jadi kadang-kadang saya ambil posting (hantaran) orang lain saya buat posting pada Facebook (FB) saya, lepas itu saya tengok komen itu. Kalau komen itu berjela-jela mengutuk orang, itu maknanya alamat orang itu sebenarnya tidak popularlah dan kita boleh anggap bahawa komen-komen netizen ini sebagai kayu ukur sikap rakyat kepada kita. (Namun) tidaklah sampailah 100 peratus, tapi hampir-hampirlah. Kalau kita ada sambutan dalam media sosial boleh katakan asas sokongan rakyat itu tidak jauh daripada apa yang kita peroleh daripada media sosial.
Adakah Datuk Seri sudi memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun pelbagai tohmahan diberikan dan juga penanda aras PRK Chini untuk PRK seterusnya termasuk PRU akan datang?
Apa-apa pun yang pertama sekali, saya kena bersihkan nama saya dulu sebab saya ada kes-kes tertentu di mahkamah. Saya nak bersihkan nama saya. Itu yang pokoknya. Bila saya dah bersihkan nama, saya akan tentukan apa yang patut saya lakukan. Sebab serangan Tun Dr Mahathir ini keterlaluan dan terlalu peribadi. Salah satu daripada apa yang saya lakukan dalam posting FB saya, saya kata biarlah posting FB saya ini berdasarkan pada fakta, angka dan kebenaran. Kita tidak lakukan serangan peribadi. Kita tumpukan kepada dasar, idea, mungkin ada cadangan bernas, sikit-sikit perli itu biasalah, kiasankan. Kalau tidak orang kata bosan pula. Ada juga orang yang saya cuit-cuit tapi tak kasar. Sebab saya fikir cara itu politik yang matang dan sihat.
Datuk Seri ada kata nak bersihkan nama di mahkamah. Mungkin ramai yang nak tahu bagaimana kekuatan Datuk Seri menghadapi kes mahkamah, tohmahan politik yang keterlaluan. Bagaimana Datuk Seri mencari kekuatan untuk berhadapan dengan perkara ini.
Saya tahu bahawa tomahan-tomahan keterlaluan secara peribadi ini, rakyat tak suka. Kalau rakyat suka, saya tidak mungkin dapat sambutan macam saya dapat hari ini. Saya tak mungkin dapat 4.1 juta pengikut di FB. Jadi kalau masih lagi digunakan pendekatan macam ni, saya tak tahu. Mungkin tidak ada kesan, orang akan lebih simpati. Mereka anggap ini nilai politik yang sepatutnya kita tunjuk kepada rakyat terutamanya orang muda. Kita kena tunjuk nilai dan sifat politik yang matang, sihat. Kita boleh berbeza pendapat, tak ada masalah. Kita boleh duduk dalam parti lain, tapi biarlah kita amalkan politik yang sihat.
Kita imbas kembali sebelum Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, adakah Datuk Seri sendiri mempunyai peranan dalam ‘Langkah Sheraton’ pada Februari lalu?
Saya tidak ada peranan secara langsung sebab itulah saya hairan kalau saya dituduh oleh Tun Mahathir sebagai orang bertanggungjawab kejatuhan PH… tidak. Ini merupakan langkah atau tindakan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dan akibatnya, kerajaan PH jatuh. Yang di-Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebab Tuanku ada kuasa budi bicara ikut Perlembagaan. Sebab itu, kena hormatlah. Banyak yang kata ini kerajaan pintu belakanglah, tebuk atap dan macam-macam lagi. Tapi hakikatnya ia dilakukan berdasarkan Perlembagaan. Kalau ikut kehendak saya secara peribadi, saya hendak PRU. Saya tulis dalam Akuan Bersumpah (SD) saya itu, biar ada PRU. Sebab kalau ada PRU kita akan balik kuasa kepada rakyat. Rakyat akan tentukan. Tapi ikut pada Perlembagaan kita, Tuanku ada kuasa budi bicara, jadi kita terpaksa hormat dan terima keputusan dan tentukan kelangsungan kerajaan ini. Yang penting rakyat Malaysia ini mempunyai sebuah kerajaan yang boleh lakukan apa yang patut untuk membantu rakyat, membangunkan negara kita, terutama sekali menangani krisis Covid-19 dan kesan ekonominya.
Bagaimana Datuk Seri melihat keberanian Perdana Menteri kita untuk bubarkan Parlimen untuk PRU sebab kita tahu ramai yang mahukan pembubaran dan berikan mandat semula kepada rakyat?
Saya percaya Tan Sri Muhyiddin ada perkiraan dia. Ada beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan dalam masa ini. Jadi kita kena beri tempoh kepada beliau untuk melihat soal bilakah yang paling sesuai. Tapi saya percaya, satu masa yang mungkin tidak berapa lama lagi, perlu diadakan PRU juga.
Sebelum ini ada beberapa berita dikhabarkan mengenai anak Datuk Seri sendiri sedang disediakan untuk menjadi calon Parlimen di Pekan. Adakah pada PRU15 nanti Datuk Seri juga akan bertanding ataupun kali ini biar orang muda atau bagaimana?
Tak ada perkiraan kita untuk anakanda saya bertanding Parlimen Pekan ataupun jawatan tertentu. Dia (bertanding) terpulang bila sampai pada masanya. Tapi hakikatnya, apa bezanya sebab Tun Mahathir ada Mukhriz, Kit Siang ada Guan Eng, Anwar Ibrahim ada Nurul (Izzah), isterinya. Ini bukan soal nepotisme tapi kebetulan kalau dalam keluarga kita ada seorang anakanda kita yang minat politik kita tak boleh menghalang dia. Asalkan kita tidak buat sesuatu yang boleh dilihat sebagai keterlaluan. Nak dilihat beri peluang ataupun nak angkat seorang anggota keluarga kita. Itu boleh dituduh. Tapi kalau kebetulan dia anakanda, generasi kedua kita yang minat politik, apa salahnya, beri ruang juga.
Ada yang kata Pas-UMNO sudah cukup kuat dalam Muafakat Nasional. Perlukah sama-sama dalam Bersatu dan juga ‘Langkah Sheraton’?
Itu satu keperluan wujudkan sebuah kerajaan. Kalau tidak nanti kita tak ada sebuah kerajaan yang boleh mentadbir negara kita walaupun dengan majoriti yang tipis. Sebab itulah tindakan itu telah diambil. Saya percaya ia merupakan satu langkah yang mungkin tidak dapat dielakkan sementara waktu sebab PH sudah berpecah dan dalam satu keadaan krisis politik, kita perlukan sesuatu yang sekurang-kurangnya mententeramkan keadaan, mewujudkan sebuah kerajaan sementara waktu dan mudah-mudahan ia boleh merupakan kerajaan yang boleh menjalankan pentadbiran yang baik untuk negara.
Sekarang ini, bukan lagi rahsia kerajaan PN ini menang tipis dalam Dewan Rakyat baru-baru ini untuk jawatan Speaker. Bagaimana Datuk Seri melihat kekuatan PN?
Saya lihat satu sokongan dalam Parlimen ia terikat kepada pembahagian mengikut parti dan mengikut kecenderungan kepada mana-mana pemimpin. Sementara itu, di luar parti barangkali rakyat akan menilai prestasi kerajaan PN. Saya lihat dalam isu menangani isu Covid-19, PN dapat markah tinggi. Jadi kalau dari sudut penerimaan rakyat agak baik untuk PN. Cuma apabila sampai kepada Parlimen, PN terikat kepada parti dan ada sedikit tawar-menawar yang berlaku, sebab itu majoriti diperoleh cuma beza dua undi. Dari segi model Demokrasi Berparlimen kalau majoriti terlalu tipis amat sukar untuk menjalankan pentadbiran kerana terdapat belah bahagi dalam Parlimen jadi kerajaan terpaksa berusaha memastikan untuk dapat majoriti. Kita tak boleh tahu mungkin ada anggota kita yang uzur, ada sebab-sebab tertentu dan tak dapat hadir ke Parlimen. Jadi bila majoriti tipis, timbul kebimbangan sama ada kerajaan PN ini akan bertahan lebih lama atau tidak. Jadi penyelesaiannya, tidak boleh lari daripada melakukan PRU.
Trademark ‘Malu Apa Bossku’ mendapat sambutan hebat khususnya daripada golongan anak muda. Bagaimana Datuk Seri boleh cipta persepsi berbeza dan bersama-sama dengan mereka di lapangan?
Saya memang buat sesuatu untuk orang tahu siapa Najib sebenarnya. Sebelum ini mereka lihat saya sebagai Perdana Menteri dan dikawal dengan protokol, jadi persepsi mereka lain. Tapi sekarang bila saya tidak pegang jawatan tersebut, saya pilih untuk pergi ke kawasan gerai dan tempat anak-anak muda suka lepak, malah saya dapati ia menyeronokkan berbanding pergi ke hotel lima bintang. Kedua, saya juga mengikut stail orang muda apabila ke tempat tersebut iaitu dengan pakai baju orang muda suka pakai, malah pakai jam G-Shock. Tapi semua ini bukanlah saya rancang walaupun ada dakwaan kata saya upah perunding, ini hanya kebetulan. Saya juga tak menyangka ia terjadi dan mendapat sambutan.
Sepanjang penglibatan Datuk Seri sebagai pemimpin, apakah yang belum tercapai dan ingin dicapai?
Saya paling ralat sebab tak dapat habiskan dasar Transformasi Nasional atau Pelan Transformasi Nasional. Ini kerana saya meletakkan cita-cita dan sasaran supaya Malaysia melalui transformasi yang begitu besar dan akan muncul sebagai negara berpendapatan tinggi. Itu yang saya hendak lakukan dengan meletakkan Malaysia di barisan hadapan di kalangan negara lain dan saya cukup yakin kalau ada tempoh cukup, ia akan menjadi kenyataan. Sebagai sebuah kerajaan berwibawa mesti ada perancangan strategik dan mulakan dengan visi yang jelas, kedua, pelan strategik prlu berasaskan visi itu dan kita mesti ada kemampuan dan kebolehan untuk melaksanakannya. Ini tiga aspek yang perlu kita lakukan dan inilah yang agak ralat sebab saya tak dapat habiskan Pelan transformasi Nasional untuk Malaysia.
Perbicaraan Datuk Seri bermula 2018, turun naik mahkamah berbulan-bulan. Apakah perasaan Datuk Seri ketika berdepan dengan perkara ini?
Segala-galanya tapi saya kata tak apalah. Kalau inilah harga yang terpaksa saya bayar kerana perjuangan politik, saya reda. Sebab saya tidak anggap bahawa saya melakukan kesalahan itu, saya hendak bersihkan nama saya. Mudah-mudahan diterima oleh mahkamah. Insya-ALLAH, saya berdoa. Kita tidak mahu zaman ataupun ketika politik vendetta (balas dendam ini) menjadi asas kepada apa-apa tindakan. Sepatutnya kita mahu prinsipnya keadilan The Rules of Law. Tetapi tidaklah diwarnai dengan niat hendak balas dendam. Ini yang tidak elok, bukan sahaja tidak elok tetapi ia memulakan suatu perkara dalam negara yang besar implikasinya. Esok orang boleh bertindak balas sebab sudah mual dengan tindakan ini. Kalau orang lain buat jangan disalahkan sebab is sudah dimulakan dengan cara sebegini. Bayangkanlah hari pertama bulan Ramadan rumah saya digeledah, rumah emak saya pun digeledah, rumah isteri perdana menteri kedua digeledah. Apa salah orang tua itu? Ini semua saya anggap politik balas dendam yang keterlaluan sehinggakan anak-anak saya turut disiasat, dikenakan tuntutan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri, barang-barang dan hadiah perkahwinan disita. Cuba bayangkan di mana ada kaitan dengan 1MDB, tidak ada pun. Tetapi ia disita dan dipamerkan untuk memalukan saya. Inilah yang saya katakan politik keterlaluan hendak balas dendam yang tidak sihat untuk negara kita. Ini bukan soal saya tetapi ia tidak sepatutnya dilakukan bagi sebuah negara yang hari ini dianggap mengamalkan demokrasi matang.
Sempena ulang tahun kelahiran Datuk Seri esok, apakah harapan Datuk Seri pada masa akan datang untuk diri sendiri mahupun politik?
Tak tahulah tetapi nampaknya sokongan rakyat, Alhamdulillah. Mana-mana saya pergi, sambutan diterima lain daripada dulu dan kelainannya berasaskan keikhlasan. Saya ini tidak ada jawatan dalam kerajaan, kalau orang yang datang ke majlis saya kerana mereka benar-benar mahu datang. Kalau dulu sewaktu saya menjadi Perdana Menteri, mungkin mereka datang kerana terpaksa atau ada arahan untuk datang. Tetapi sekarang mereka benar-benar mahu berjumpa atau sambut saya. Alhamdulillah, sebagai seorang ahli politik, saya telah melalui satu proses 360 darjah pusingan. Bagaimanapun, ia berbalik kepada di mana asas seorang ahli politik adalah sokongan rakyat. Macam mana pun kita kena terima ukuran mutlak adalah sokongan rakyat dan selepas itu apa yang hendak berlaku pada diri kita bergantung pada keadaan.
Sinar