Tawaran duit, jawatan kepada wakil rakyat Warisan cerita dongeng, kata Jeffrey
Presiden parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan menyindir pemimpin Warisan dan DAP Sabah kerana mendakwa sesetengah wakil rakyat mereka ditawarkan wang dan jawatan supaya menyertai pembangkang.
Beliau menggesa pemimpin terbabit supaya berhenti menuduh bekas ketua menteri Sabah Musa Aman cuba memujuk wakil rakyat terbabit, sekalig gus menyifatkan dakwaan bahawa “ejen politik” menawarkan wang dan jawatan kepada wakil rakyat sebagai “cerita dongeng”.
“Barangkali pemimpin Warisan juga takutkan bayang-bayang mereka sendiri kerana memori bagaimana mereka memujuk dan menculik wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum 2018 datang menghantui (mereka).
“Individu yang paranoid dan penuh dengan syak wasangka selalu begitu kerana mereka sendiri menggunakan taktik itu.
“Berlawanan dengan dakwaan Warisan, kami dengar presiden parti itu, Shafie Apdal cuba memujuk wakil rakyat yang mesra Perikatan nasional (PN) supaya beralih kepada Pakatan Harapan (PH) dengan tawaran untuk menumbangkan kerajaan pusat pimpinan PN.”
Beliau juga berkata, terdapat cakap-cakap bahawa Warisan mengugut Adunnya, malah menyembunyikan mereka kerana bimbang mereka akan melompat parti.
“Kami melihat dron diterbangkan ke rumah sesetengah pemimpin untuk mengintip siapakah yang datang dan pergi.
“Jika Warisan yakin akan kekuatan, sokongan dan kesetiaan wakil rakyat mereka, maka tidak ada keperluan untuk membuat kenyataan, melancarkan perang psikologi dan mengutus dron untuk mengintip pergerakan pembangkang.”
Semalam DAP Sabah berkata, 7 Adunnya ditawarkan wang dan jawatan supaya melompat parti di tengah-tengah dakwaan bahawa kerajaan negeri akan bertukar tangan kepada pembangkang.
Dua Adunnya membuat laporan polis selepas dikunjungi individu yang didakwa “ejen politik” daripada “pihak sebelah” sepanjang 2 hari lepas. FMT