Bayi Malaysia lahir pada 2020 dijangka hidup lebih lama, kata laporan · MYKMU.NET

Bayi Malaysia lahir pada 2020 dijangka hidup lebih lama, kata laporan

Share

Bayi yang lahir tahun ini dijangka boleh hidup sehingga berumur 74.9 tahun, hampir 5 bulan lebih lama berbanding 74.5 tahun pada 2014.

Perkara itu terkandung dalam Jadual Hayat Ringkas, Malaysia 2018-2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.

Penerbitan itu mengandungi jadual hayat mengikut umur, kumpulan etnik dan jantina serta perbezaan mengikut negeri untuk 2018 hingga 2020.

Mengulas mengenai penerbitan itu, ketua perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, secara purata, jangkaan hayat bagi bayi perempuan yang lahir pada 2020 ialah 77.6 tahun, 5 tahun lebih lama berbanding bayi lelaki, iaitu 72.6 tahun.

“Pada 2020, lelaki dan wanita yang mencecah umur 15 tahun masing-masing dijangka hidup selama 58.4 dan 63.2 tahun,” katanya.

Beliau berkata, jangkaan hayat pada umur 60 tahun meningkat, iaitu lelaki dijangka hidup selama 18.4 tahun lagi, manakala wanita 21.2 tahun.

Berdasarkan anggaran penduduk pada 2020, beliau berkata, penduduk berumur 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 3.5 juta orang berbanding 3.4 juta pada 2019.

Uzir berkata, 3 negeri mencatatkan jangkaan hayat tertinggi untuk lelaki, iaitu Sarawak (74.6 tahun), Kuala Lumpur (74.5 tahun) dan Selangor (73.8 tahun), manakala bagi wanita ialah Kuala Lumpur (79.4 tahun), Pulau Pinang (78.9 tahun) dan Sarawak (78.4 tahun). FMT

Leave a Reply