Kakak usahawan fesyen terkenal didakwa pecah amanah RM200,000

KUALA LUMPUR – Kakak kepada usahawan fesyen terkenal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah wang RM200,000 milik sebuah syarikat pada tahun 2019.

Tertuduh Intan Safina Yusof, 40, bagaimanapun tidak mengaku salah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Intan Safina sebagai salah seorang Pengarah Syarikat Arena Abadi Sdn Bhd yang diamanahkan dengan wang RM200,000 telah memindahkan wang itu dalam ke akaun Public Bank miliknya dari akaun syarikat berkenaan.

Tertuduh menggunakan wang tersebut bagi kegunaan diri sendiri dan melanggar arahan undang-undang yang menetapkan cara bagaimana amanah itu disempurnakan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Tun Sambathan 3, Brickfields di sini pada 25 Januari hingga 28 Februari 2019 yang disabitkan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub menawarkan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun peguam yang mewakili tertuduh, Diar Isda Yazmin Ismail memohon jumlah ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh tidak bekerja.

“Anak guam saya merupakan ibu kepada empat orang anak berusia tiga hingga 14 tahun dan selepas kejadian tertuduh sudah tidak bekerja.

“Suaminya pula bekerja dalam sektor pelancongan yang mana pada waktu sekarang sektor ini mengalami kesulitan ekoran pandemik Covid-19,” katanya.

Tambah Diar Isda, dalam kes ini penjamin tertuduh adalah bapa mentuanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Sabariah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker