Ramkarpal bacakan transkrip suara ‘Muhyiddin’ pikat MP Umno dalam parlimen

Seorang ahli parlimen dari DAP hari ini membacakan transkrip rakaman tular seseorang yang memperkatakan mengenai kecenderungan pemimpin Umno untuk bergabung dengan Bersatu jika mereka ditawarkan jawatan menteri atau kedudukan atasan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Semasa berbuat demikian, Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) dilihat cuba untuk membuktikan bahawa suara rakaman tersebut memang milik Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, yang didakwa bercakap mengenai hal berkenaan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu pada 23 Feb lalu.

Ketika itu Muhyiddin masih berkhidmat sebagai menteri dalam negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Umno pula masih menjadi pembangkang selepas parti itu gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk menjadi kerajaan.

Dalam rakaman tersebut, audio lelaki yang mirip dengan suara Muhyiddin itu berkata: “Kalau dia (ahli parlimen Umno) tahu kerajaan baru nak terbentuk… Why don’t you (Umno MPs) join in now, why don’t you join us now, rather than you join later? (kenapa tak sertai kami sekarang berbanding sertai kami kemudian?).



“Saya fikir kalau itu kita lakukan, sebahagian besar mungkin tinggalkan Umno (dengan hanya) 10 hingga 20 tinggal Najib (Razak) dan puak-puak dia.

“Lebih-lebih lagi kalau ada jawatan. Tak jadi menteri, jadi chairman of GLC (pengerusi GLC),” kata suara rakaman itu.

Ramkarpal pada mulanya cuba untuk memainkan rakaman audio tersebut dalam Dewan Rakyat, namun selepas beberapa saat tindakan itu dihentikan oleh Timbalan Speaker Azalina Othman Said.

Ada undur memikat dalam rakaman



Azalina meminta Ramkarpal untuk merujuk peraturan mesyuarat mengenai kebenaran memainkan rakaman audio.

Ramkarpal kemudian membalas bahawa tiada peraturan mesyuarat yang menghalangnya berbuat demikian. Beliau yang juga seorang peguam menambah, mendiang ayahnya, Karpal Singh, juga pernah memainkan rakaman audio sebagai sebahagian dalam perbahasannya di Parlimen.

Azalina, bagaimanapun tidak membenarkan rakaman itu dimainkan.

“Ini bukan mahkamah, tiada isu hearsay (cakap dengar), ini adalah debat,” katanya.



Bagaimanapun, Azalina membenarkan Ramkarpal untuk membacakan transkrip rakaman tersebut.

Selepas membaca transkrip tersebut, Ramkarpal mendedahkan bahawa suara dalam rakaman itu sememangnya milik Muhyiddin.

“Saya katakan dalam dewan ini, suara itu adalah suara perdana menteri. That is his voice. Dia tak jawab soalan saya sama ada suara itu adalah suaranya.

“There is an element of enticement on the part of the prime minister (terdapat unsur memikat daripada perdana menteri),” tambahnya.



Ahli parlimen itu kemudian meminta menteri berkaitan menjelaskan sama ada pihak berkuasa sudah mengenal pasti suara dalam rakaman itu atau tidak apabila laporan polis mengenainya.

Beliau juga ingin mengetahui adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil tindakan ke atas perdana menteri.

Sementara itu Shahidan Kassim (BN-Arau) mencelah perbahasan Ramkarpal dengan berkata laporan polis akan dibuat berkenaan perkara tersebut.

“Kami akan lapor polis, ini adalah skandal, mengintip parti. Apa hak mereka untuk rakam,” kata Shahidan.



Jelas Shahidan, tindakan tersebut baru di peringkat perancangan dan belum dilaksanakan lagi.

Sejak mengambil alih tampuk kerajaan Mac lalu, Perikatan Nasional -yang dipimpin Muhyiddin telah melantik lebih 36 ahli parlimen untuk menerajui GLC dan agensi kerajaan. Mkini

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker