PN akan tambah baik, Sosma masih “relevan” untuk dikuatkuasakan
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) komited untuk “menambah baik” undang-undang keselamatan seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Dalam jawapan bertulis kepada Su Keong Siong (DAP-Kampar) di parlimen semalam, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata Sosma masih “relevan” untuk dikuatkuasakan.
“Kerajaan berpandangan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) [Security Offences (Special Measures) Act, SOSMA] 2012 masih relevan dan penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang sedemikian bagi membanteras dan membendung ancaman-ancaman keselamatan seperti pengganas dan juga sindiket jenayah terancang.
“Kerajaan komited untuk menambah baik undang-undang keselamatan termasuk Sosma dan Akta Hasutan,” kata Hamzah, sambil menambah kajian lebih terpeinci perlu dilaksanakan.
Jawapan it bertentangan dengan pendirian diambil kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini untuk menghapuskan Akta Hasutan dan Sosma.
Bagaimanapun, perkara itu tidak dilakukan selama 22 bulan PH berkuasa.
Sasaran Sosma
Dalam jawapan bertulis yang berasingan bagi menjawab soalan Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) Hamzah menyenaraikan individu yang melakukan kesalahan yang menjurus kepada empat elemen berikut:
1. Menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu;
2. Membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong;
3. Memudaratkan ketenteraman awam di dalam negara; dan
4. Mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undang-undang.
Dalam soalannya, Ngeh bertanya siapakah yang dirujuk oleh kerajaan dalam mukadimah Sosma bahawa tindakan telah diambil terhadap sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia untuk menyebabkan keganasan terancang.