Tiada lagi kuarantin di rumah bermula Jumaat · MYKMU.NET

Tiada lagi kuarantin di rumah bermula Jumaat

Share

Kerajaan hari ini memutuskan bahawa tiada lagi kuarantin di rumah bagi rakyat Malaysia dan warga asing yang tiba di negara ini mulai 24 Julai ini.

Sebaliknya, individu-individu terbabit akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mendapati terdapat individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan kuarantin wajib di rumah.

“Mulai Jumaat ini (24 Julai), tiada lagi kuarantin di rumah, tetapi (kuarantin) di pusat-pusat kuarantin seperti yang kita buat sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dulu.

“Mereka yang terlibat akan menanggung kos kuarantin di stesen-stesen kuarantin, sama ada di Institut Latihan Awam atau hotel berdasarkan kos yang telah dipersetujui sebelum ini,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Serentak itu, katanya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengenal pasti serta mewartakan lokasi bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

Susulan keputusan tersebut, Ismail Sabri menambah, warga asing yang ingin memasuki negara ini diwajibkan menjalani ujian swab COVID-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

Tegas Ismail Sabri, kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan SOP kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling.

Beliau menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, ujarnya pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun RM1,000 dan mendakwa individu terbabit di mahkamah. Awani

Leave a Reply