Perdana Menteri perbetul angka kurang tepat semalam
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membetulkan angka membabitkan pakej rangsangan ekonomi kerajaan untuk elaun pemandu pelbagai bentuk pengangkutan awam yang diumum semalam.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan angka sebenar adalah sebanyak 68,336 pemandu e-panggilan menerima elaun tunai RM500 berjumlah RM34 juta, manakala 37,127 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pesiaran menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM22.2 juta.
“Mengenai bantuan subsidi upah pula, inisiatif ini yang bernilai RM7.4 bilion telah memberi manfaat kepada 313,000 majikan dan 2.5 juta pekerja di seluruh negara,” katanya.
Dalam ucapannya semalam, Muhyiddin menyorot beberapa bantuan yang disampaikan melalui pakej rangsangan ekonomi, termasuk elaun untuk pemandu pelbagai bentuk pengangkutan awam.
“Sehingga hari ini, sejumlah RM11.4 bilion disalurkan kepada 10.4 juta penerima Bantuan Prihatin Nasonal.
“1.4 juta pemandu e-panggilan menerima elaun tunai RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta.
“Seramai 477,000 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM28.8 juta,” kata Muhyiddin semalam.
Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen akui angka yang disebut perdana menteri semalam, berkenaan pakej rangsangan ekonomi kerajaan untuk elaun pemandu pelbagai bentuk pengangkutan awam, kurang tepat.
Katanya, Pejabat Perdana Menteri akan memperbetulkan angka tersebut.
“Mengenai nombor-nombor yang dipetik oleh ucapan perdana menteri ada nombor kurang tepat, saya percaya pembetulan akan diumum pejabat perdana menteri,” katanya ketika sesi pertayaan-pertayaan menteri.
Beliau menjawab soalan tambahan, Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baru) tentang angka yang disebut, mengatakan jumlah pemandu e-panggilan yang berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat hanya sekitar 120,000, bukan 1.4 juta seperti yang disebut perdana menteri.
Katanya, sekiranya 1.4 juta pemandu dibayar RM500 setiap seorang, maka jumlah yang diperlukan adalah RM700 juta, bukan hanya RM34 juta.
Tengku Zafrul sebaliknya memaklumkan jumlah bantuan membabitkan pemandu e-panggilan, pemandu teksi, pemandu pelancong, dan pemandu bas berjumlah RM110 juta.
“Saya boleh bagi angka yang tepat, insentif tunai bagi pemandu teksi, pemandu pelancong, bas semuanya RM110 juta. Bagi tunai secara ‘one-off’ RM500 bagi pemandu sepenuh masa e-hailing dan bagi pemandu teksi, pemandu pelancong dan bas sama RM600 dan jumlah bayaran RM22.2 juta melibatkan 37127 penerina.
“E-panggilan RM34 juta melibatkan 68336 penerima, dan ada lagi yang menunggu bayaran misalnya 4800 pemandu teksi kerana mereka baru nak perbaharui kad pemandu. Bagi pemandu pelancong 31000 pemanju kosnya RM1.8 juta akan dibayara 22 Julai ini dan 32000 pemandu bas sekolah akan menerima bayaran pada Ogos ini.” FMT