Juruteknik maut kemalangan tidak sempat timang anak sulung
TANJONG KARANG – Hasrat seorang juruteknik Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyambut kelahiran anak sulung tidak kesampaian susulan dia maut dalam kemalangan di Kilometer 55.5 Jalan Klang-Teluk Intan, pagi tadi.
Bapanya, Abdul Rahman Mat Lehan, 61, berkata, Allahyram Shafizal Shaufiq Abdul Rahman, 27, sangat teruja untuk menunggu isterinya, Naurah Sabihah Abdul Rahim, 27, yang kini hamil enam bulan melahirkan anak mereka itu.
Menurutnya, Allahyarham pada minggu lalu ada memaklumkan ingin ke Shah Alam untuk membeli barangan keperluan bayi bakal lahir itu.
“Saya pun tak sempat bertanya sama ada dia sempat membeli barangan keperluan anak atau pun belum sebab dia pulang lewat ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdul Rahman berkata, ketika menerima berita kemalangan itu, dia sedang menguruskan kedai makan miliknya yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya di Lorong 3, Sungai Kajang Lama, Tanjong Karang sebelum anak kelimanya menghubungi bagi memaklumkan Allahyarham Shafizal Shaufiq terbabit kemalangan.
“Mulanya anak yang hubungi saya memaklumkan arwah hanya terlibat kemalangan. Dia tidak berterus terang (mangsa meninggal dunia) mungkin takut saya terkejut dengan berita sedih ini
“Namun, selang beberapa minit saya berasa tidak sedap hati lalu hubungi anak saya semula dan ketika itulah dimaklumkan arwah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam nada menahan sedih.
Mengenang semula detik kejadian lelaki itu berkata, dia berasa pelik kerana pada hari ini anak ketiga daripada enam beradik itu tidak singgah ke kedai makannya sebelum ke tempat kerja seperti kebiasaan.
“Biasanya arwah akan datang ke kedai makan dulu untuk membungkus makanan atau air, tapi hari ini dia tidak berbuat demikian,” katanya.
Dia menyifatkan Allahyarham Shafizal Shaufiq sebagai seorang anak yang rajin, penyayang serta mudah tersenyum.
“Dia selalu memasak dan menyuruh emaknya berehat, selain membantu isterinya berniaga menjual goreng pisang dan mi kari di kedai makan pada waktu petang.
“Biasanya kerja-kerja mengemas rumah, menebas dan meracun di rumah ini dilakukan arwah,” kata lagi.
Menurut Abdul Rahman, Allahyarham juga merancang mengadakan sambutan hari keluarga di Melaka selepas Aidiladha ini.
“Kami anak beranak ada merancang hendak bercuti dan menginap di hotel, tapi takdir ALLAH menentukan segalanya apabila arwah pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 55.5 Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran tapak pembinaan hospital baharu Tanjong Karang di sini hari ini.
Kejadian jam 8.50 pagi itu mengakibatkan penunggang motosikal, Shafizal Shaufiq meninggal dunia di tempat kejadian.