PH hipokrit, dia pun lantik speaker tanpa undian – Najib
PH juga pilih speaker tanpa buat undian, kata Najib
Najib Razak meminta semua pihak “beralih” daripada isu pertukaran speaker Dewan Rakyat kerana tindakan itu tidak menyalahi undang-undang.
Beliau berkata, undang-undang jelas menyatakan Parlimen boleh menukar speaker Dewan Rakyat pada bila-bila masa, seperti undian yang diadakan untuk menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof.
Ahli Parlimen pembangkang kecoh, apabila usul melantik bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun sebagai speaker baru diterima tanpa undian.
“Saya ingin mengingatkan pembangkang, ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan dan mencadangkan Tan Sri Ariff sebagai speaker, tiada undian juga.
“Malah ada video mengenainya dalam talian, jadi agak hipokrit mereka mengkritik pelantikan speaker baru sedangkan mereka melakukan perkara sama,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Pekan itu turut mengingatkan pembangkang yang Azhar adalah pilihan PH untuk mengetuai SPR.
“Jika anda fikir beliau bukan seorang yang adil, bukan orang yang berkebolehan atau tidak berintegriti, mengapa anda melantiknya sebagai pengerusi SPR ketika itu? Atau anda fikir pilihan raya tidak perlu adil dan berintegriti?” soalnya.
Beliau berkata, pembangkang perlu fokus kepada isu yang menjejaskan rakyat, seperti Covid-19 dan ekonomi, bukannya bermain politik. FMT
You must be logged in to post a comment.