Pesakit mental mati dipukul rakan sebab kencing merata
IPOH – Seorang pesakit mental mati selepas dipukul dan ditumbuk oleh seorang lagi pesakit mental dalam kejadian di sebuah pusat jagaan swasta di Tambun di sini hari ini.
Mangsa berusia 57 tahun dipukul dan ditumbuk beberapa kali oleh suspek berusia 53 tahun yang berang dengan sikap mangsa suka membuang air kencing merata tempat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kejadian itu disedari oleh pesakit lain yang menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di sebuah bilik kira-kira jam 8 pagi tadi.
Beliau berkata, penjaga pusat itu telah membawa mangsa ke hospital untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan lebam di bahagian muka, mata, bawah mata dan leher mangsa kesan pukulan.
“Siasatan lanjut di tempat kejadian turut menemui kesan darah di dinding bilik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, suspek dikatakan telah lama menyimpan perasaan marah terhadap sikap mangsa yang membuang air di merata tempat.
“Dikatakan kejadian ini sudah lama berlaku dan mungkin suspek sudah tidak mampu mengawal perasaan marah lalu memukul mangsa.
“Mangsa sebenarnya sudah tidak mampu bergerak dan ada masalah penglihatan,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sementara menunggu laporan psikiatri suspek dan hasil bedah siasat mangsa.
Katanya, pusat jagaan itu dikhususkan untuk pesakit mental dan kini dihuni 50 orang termasuk tiga wanita.
“Kita juga akan jalankan siasatan lanjut ke atas pusat jagaan ini dari segi rekod pesakit dan mengenal pasti ianya berdaftar atau tidak,” katanya.