Saya didesak bertanding sebagai Ketua Armada – Muzammil
Saya berdepan tekanan kuat agar bertanding ketua Armada’
Exco Pemuda Bersatu (Armada) Muzzammil Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau menarik diri sebagai calon ketua Armada pada pemilihan yang berlangsung serentak dengan perhimpunan agung parti itu, 27 September ini.
Jelasnya, memang benar terdapat rundingan dengan pesaingnya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk menyelesaikan isu pemilihan bagi jawatan tersebut.
Bagaimanapun, kata Muzammil, perbincangan tersebut tidak dapat mencapai kata sepakat ekoran desakan ahli Armada yang mahukan proses pemilihan dijalankam.
“Namun proses rundingan boleh dikatakan tidak mencapai kata sepakat.
“Ya benar rundingan di antara YB Senator Wan Faysal dengan saya berlaku. Di pihak saya kita meneliti pelbagai aspek dan implikasi terbaik. Saya sendiri membuka ruang rundingan agar kita lebih matang dan tidak jumud.
“Saya berhadapan dengan tekanan kuat daripada Armada di peringkat cawangan dan bahagian yang mendesak agar adanya proses pemilihan Ketua Armada bagi menjunjung semangat demokrasi dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, Muzammil merupakan pemimpin Armada yang sebelum ini mencuri perhatian selepas suratnya kepada Menteri Besar Kedah yang meminta dirinya dipertimbangkan sebagai ahli lembaga pengarah agensi kerajaan negeri atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tular di media sosial.
Sementara itu, Muzammil menjelaskan antara sebab proses pemilihan perlu dilakukan adalah untuk mempersiapkan jentera yang dilatih bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Selain itu, usaha untuk mempersiapkan jentera yang dilatih untuk menjadi barisan hadapan kepada parti dalam menghadapi PRU15 adalah perkara pokok kenapa kepimpinan Armada perlu dipilih oleh akar umbi dan bukannya tiada pertandingan,” katanya lagi. Mkini