Najib berjaya batal saman Deepak
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan tuntutan saman difailkan oleh pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, J R Deepak Jaikishan terhadap bekas perdana Menteri, Najib Razak, isterinya, Rosmah Mansor dan ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.
Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib, Rosmah dan Abdul Azeez bagi membatalkan saman yang difailkan terhadap mereka pada 2018 berhubung cukai yang dialami selepas didakwa bertindak sebagai proksi bagi pasangan itu.
Peguam David Mathews, yang mewakili Najib dan Rosmah sebagai defendan, memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman membuat keputusan selepas mendengar permohonan itu dalam kamar.
Hadir sama peguam Prem Ramachandran dan Arwinder Kumar, yang bertindak bagi Abdul Azeez, manakala Irzan Iswat Mohd Noor dan Nasbal Harun mewakili Deepak dan 2 lagi plaintif, iaitu Carpet Raya, dan adiknya J Rajesh, yang juga pengarah syarikat itu.
Mathews berkata, mahkamah membenarkan permohonan membatalkan saman itu atas alasan kes plaintif jelas tidak dapat dikekalkan.
“Pernyataan tuntutan tidak mendedahkan alasan yang munasabah berhubung tindakan itu kerana elemen penting untuk menyokong tuntutan konspirasi merosak, misfeasans dalam kedudukan awam dan melanggar tugas tidak dapat dipertahankan,” katanya.
Peguam itu berkata, mahkamah mengarahkan plaintif membayar kos RM15,000 kepada pasangan itu dan RM10,000 kepada Abdul Azeez.
Pihak defendan mengemukakan permohonan membatalkan saman tersebut pada 24 Sept, 2019 atas alasan ia menyusahkan dan plaintif tidak mempunyai alasan untuk bertindak menyaman mereka.
Terdahulu, dalam saman yang difailkan pada 15 November 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan syarikat bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah dalam urus niaga tanah serta urusan perniagaan seperti yang diarahkan oleh pasangan itu.
Beliau juga mendakwa defendan ke-3 (Abdul Azeez) bertindak sebagai ejen untuk Najib dan Rosmah untuk menjalankan urus niaga serta bertindak sebagai perantara antara pasangan dan plaintif ke-2, Carpet Raya.
Deepak mendakwa, hasil transaksi itu, beliau menerima surat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai yang dikenakan oleh Carpet Raya dan cukai pendapatannya berjumlah lebih RM6 juta, tidak termasuk caj penalti dan faedah.
Deepak mendakwa beliau menerima surat berkenaan selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada tahun 2012.
Ia berikutan keengganannya untuk mematuhi arahan mereka dalam kes sivil yang melibatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam.
Plaintif mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan tindakan undang-undang dibuat terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac 2017 oleh LHDN, malah petisyen itu disiarkan di akhbar tempatan.
Mereka mendakwa akibat petisyen itu, perniagaan dan reputasi semua plaintif terjejas dan Deepak juga dilarang meninggalkan negara ini, selain kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank, manakala kontrak syarikat dengan IKEA dibatalkan.
Mereka mahu mendapatkan pengisytiharan mahkamah, Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai yang dikenakan terhadap syarikat itu.
Mereka juga mahu ganti rugi sebanyak RM500,000 yang dibayar kepada Maybank; RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat untuk memenuhi kontrak dan jualannya; RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan IKEA; RM200 juta kerana dakwaan fitnah dan RM37 juta kerugian yang disebabkan oleh salah laku Najib.
Mereka juga mahu ganti rugi teladan sebanyak RM100 juta. FMT
You must be logged in to post a comment.