#Covid-19 : Kluster antibodi rendah boleh dijangkiti semula

COVID-19: Antibodi pesakit sembuh dalam Kluster Sungai Lui rendah

Kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas mereka yang sembuh daripada COVID-19 dalam kluster Sungai Lui mendapati kehadiran antibodi yang rendah, iaitu hanya 20 peratus, yang bermakna mereka boleh dijangkiti kembali.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian dari negara lain turut mendapati mereka yang dijangkiti COVID-19 berhadapan dengan antibodi yang semakin berkurangan selepas lapan minggu pulih.

“Sepatutnya mereka yang dijangkiti COVID-19 mengalami peningkatan antibodi sehingga 80 peratus,” katanya kepada pemberita pada sidang media perkembangan COVID-19 di KKM di sini, pada Selasa.

Oleh itu, katanya, Malaysia sedang menimbang untuk menjalankan kajian fasa ketiga mengenai COVID-19 dalam mencari kaedah terbaik untuk merangsang antibodi yang berkekalan pada pesakit yang sudah sembuh.

Mengulas mengenai sifar penularan tempatan kes COVID-19 pada Selasa Dr Noor Hisham berkata ia menepati unjuran modelling KKM sebelum ini yang menyatakan pada tarikh ini kes penularan tempatan adalah sifar.

“Kes positif COVID-19 baharu pada Selasa adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang kita tidak dapat kawal,” katanya lagi.

Ditanya mengenai kebimbangan KKM pada masa ini, Dr Noor Hisham berkata beliau khuatir rakyat mula leka dan kembali kepada kehidupan normal tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Barah virus (COVID-19) itu ada lagi dan boleh merebak atau kembali kalau kita leka dan tidak ambil tindakan pencegahan atau jaga kebersihan,” katanya.

Ditanya sama ada KKM bercadang menjadikan pemakaian pelitup muka sebagai mandatori, Dr Noor Hisham berkata KKM tidak berhasrat untuk menggunakan kaedah sebegitu.

“Bagaimanapun, KKM amat menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di tempat awam,” katanya lagi.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker