Pakar perubatan berpaling tadah, dakwa China sembunyi fakta pandemik COVID-19
WASHINGTON: China didakwa menyembunyikan fakta mengenai COVID-19.
Dakwaan dibuat seorang pakar perubatan China yang kini melarikan diri ke Amerika Syarikat (AS).
Dr Li Meng Yan memaklumkan dia antara yang paling awal menjalankan kajian mengenai COVID-19 tahun lalu.
Namun Meng Yan mendakwa hasil kajiannya disekat.
Menurutnya, pegawai di sebuah institut kesihatan Hong Kong melarangnya daripada bersuara apabila dia cuba memberi amaran mengenai transmisi COVID-19 dalam kalangan manusia.
“Saya menyampaikan mesej sebenar mengenai COVID-19. Jika mesej ini saya sebarkan di Hong Kong, saat saya mula melakukannya, saya akan hilang dan dibunuh, tiada yang dapat mendengar maklumat ini lagi.
“Jadi bagi tujuan ini, saya melarikan diri ke Amerika Syarikat dan memberitahu perkara sebenar mengenai COVID-19 bagi membolehkan dunia tahu betapa bahayanya virus ini.
“Kebanyakan masa, pesakit tidak mendapat rawatan tepat pada masanya, tiada perlindungan kepada pakar perubatan dan pesakit.
“Kerajaan tidak membenarkan maklumat seperti ini disebarkan.
“Doktor berada dalam ketakutan, saya sangat kecewa,” katanya.
Walaupun kini berada di Amerika Syarikat, Meng Yan menyifatkan masih berada dalam ketakutan dan mendakwa nyawanya terancam.
COVID-19 telah menyebabkan lebih setengah juta kematian di peringkat global.
Bagaimanapun, ramai berpendapat angka kematian sebenar lebih tinggi daripada angka rasmi yang dilaporkan.
Awani