DJ Dave beli Alfa Romeo cengkeram RM50

“SAYA tahu saya tak mampu tetapi saya peminat kereta sejak dari dulu, lebih-lebih lagi kereta sport. Pada masa itu, kereta Alfa Romeo dianggap mahal dan harganya kalau tak silap saya RM25,000 sebuah,” cerita Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave ketika menceritakan tentang kereta Alfa Romeo GTV2000 yang dibelinya sewaktu mula menjadi artis.

“Jadi saya selalu fikir cara untuk dapatkan Alfa Romeo yang menjadi kegilaan ramai peminat kereta,” katanya menceritakan bagaimana beliau mendapatkan kereta idamannya itu pada tahun 1974.

DJ Dave memberitahu Sinar Ahad, agak sukar baginya untuk memiliki kereta impiannya apatah lagi beliau datang daripada keluarga miskin di Tanjung Malim, Perak.

Katanya, ketika itu beliau masih bekerja di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur dengan gaji bersih RM180 sebulan dan baru dua tahun berjinak-jinak menjadi penyanyi.

“Suatu hari rakan sekerja beritahu saya yang dia terdengar jirannya mahu menjual kereta Alfa Romeo gara-gara kedua-dua isterinya bergaduh disebabkan kereta tersebut,” kata ketika ditemui di pejabat Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Teruja dengan berita itu, beliau mengajak rakannya ke rumah pemilik kereta berkenaan di Jalan Imbi, Kuala Lumpur selepas tamat waktu bekerja syif pagi.

Tetapi sebaik tiba di situ, DJ Dave terpaksa naik ke tingkat tiga rumah itu seorang diri.

“Kawan saya tak naik sebab dia kata lelaki tersebut garang. Saya jadi takut tapi kuatkan semangat demi kereta idaman.

Kereta Alfa Romeo GTV2000 yang masih disimpan DJ Dave sehingga hari ini.

“Sebaik pintu dibuka, seorang lelaki keturunan Tionghoa keluar dan bertanya hajat saya ke rumahnya. Saya berterus terang dan bertanya tentang kereta Alfa Romeonya. Dia tanya dari mana saya tahu perkara itu.

“Saya cuma cakap saya ada dengar-dengar uncle nak jual kereta tu. Dia tanya saya, awak ada duit ke? Saya kata ada dan dia suruh saya tunggu di bawah,” kata DJ Dave yang pada masa itu hanya mempunyai wang RM50 di dalam poket seluarnya.

Sebaik turun dan menuju ke kereta tersebut, beliau meminta kebenaran untuk memandu uji tetapi ditegah lelaki Cina tadi.

Beliau hanya dibenarkan duduk di sebelah pemandu. Bukan itu sahaja, beliau juga dilarang menyentuh apa-apa yang ada di dalam kereta tersebut termasuk ketika cuba memasang radio.

“Uncle itu memang menjaga keretanya dengan baik. Bunyi kereta Alfa Romeo itu ketika enjin dihidupkan memang membuatkan saya semakin teruja untuk memilikinya.

“Semasa di dalam kereta, saya sudah membayangkan memandunya. Saya tanya uncle, berapa harga kereta ini nak dijual, dia kata harga special RM18,000.

“Dalam hati saya, macam mana nak cari RM18,000 ni? Kemudian saya mula tawar-menawar dengan dia, dua jam tawar-menawar akhirnya dia setuju jual pada harga RM13,500,” ceritanya.

Begitupun, DJ Dave berkata, pemiliknya hanya mahu menjualkan kereta tersebut dengan bayaran tunai.

“Kalau betul-betul berminat, saya perlu bawa wang itu bertemunya pada hari Isnin iaitu dua hari selepas itu di Bank Negara.

“Mungkin dia ingat saya anak orang kaya, tetapi kerana terlalu teruja nak dapatkan kereta itu, saya berani keluarkan duit RM50 dari poket dan berikan sebagai cengkeram untuk kereta yang berharga RM13,500,” katanya sambil ketawa besar mengimbau peristiwa itu.

DJ Dave berkata, setibanya di rumah beliau mula menghubungi ahli keluarga dan rakan-rakanya untuk meminjam duit membeli kereta.

Beliau juga ada mengeluarkan sedikit wang simpanannya ketika menjadi penyanyi dan akhirnya berjaya mengumpulkan wang berjumlah RM13,450.

“Hari yang dinanti akhirnya tiba dan saya berjumpa dengan uncle tersebut pada jam 2.30 petang sebagaimana yang dijanjikan di Bank Negara pada hari Isnin itu. Tepat jam 2.30 petang, uncle itu datang dan bertanya saya berkali-kali adakah saya membawa wang itu.

“Mungkin dia ingat saya main-main untuk beli kereta itu. Katanya, saya amat bertuah kerana sehari sebelum itu ada orang lain yang mahu membeli kereta tersebut pada harga RM17,000 tunai.

“Tetapi disebabkan cengkeram RM50 saya itu, dia masih menyimpan kereta tersebut untuk saya,” katanya yang mengakui sentiasa berfikiran positif dan yakin dalam membuat sesuatu perkara.

DJ Dave ketika menceritakan tentang kereta Alfa Romeo GTV2000 yang dibelinya sewaktu mula menjadi artis.
Menurut DJ Dave, beliau masih mengekalkan warna asal keemasan kereta Alfa Romeo GTV2000 itu sehingga hari ini dengan bumbung hitam seperti yang dipesan pemilik asal.

Katanya, penyelengaraan kereta itu amat mahal dan banyak mengunakan minyak.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau menawarkan khidmat ‘kongsi kereta’ kepada rakan-rakannya dengan bayaran RM30 seorang setiap bulan.

“Jadi setiap bulan saya bawa empat penumpang berulang-alik dari Petaling Jaya ke tempat kerja, dapatlah kutip RM120 sebulan,” katanya sambil tersenyum.

Kereta Alfa Romeo GTV2000 itu juga telah dibawa menaiki pentas di Istana Budaya ketika DJ Dave membuat persembahan sempena 40 tahun penglibatannya dalam industri muzik tanah air pada 2012.

Malah kereta itu juga berjasa membawanya ke seluruh negara ketika membuat persembahan dari tahun 1974 hingga 2011.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker