Bersediakah Malaysia untuk PRU15?
AKHIR-akhir ini khabar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan tidak berapa lama lagi berlegar di setiap ruang. Adakah ini merupakan satu ‘PRU kejutan’ susulan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional pada 1 Mac 2020 atau tanggapan ‘mood feel good factor’ rakyat sudah bersedia untuk berhadapan dengan suasana meraikan proses pendemokrasian yang sering berlaku setiap 5 tahun sekali.
Jika ia diadakan dalam masa terdekat, sudah pasti ini merupakan satu sejarah dimana PRU diadakan dalam jangka masa tidak sampai 3 tahun.
Bersediakah Malaysia? Bersediakah parti politik dengan pengalaman, manifesto, imej, trek rekod, jenama dan pemasaran politik; tidak lupa calon mereka. Apakah ia masih tertumpu kepada tohmahan, fitnah, persepsi, simpati dan mengaibkan antara satu sama lain?
Apa kita mahu sebenarnya dalam meraikan demokrasi? Rasional atau emosi? 2018 menyaksikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas dan bagaimana kemudiannya pemimpin yang mengetuai jentera BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah melalui proses pembunuhan karakter sehingga didakwa di mahkamah tetapi pada waktu yang sama wujud satu ‘turning point’ disaat-saat ramai menjangkakan era politik beliau sudah berakhir, beliau kini mengetuai ‘perang politik’ untuk memastikan BN dan Muafakat Nasional (MN) masih signifikan dalam konteks politik arus perdana tanah air.
Apakah ini pergelutan persepsi? Apakah ada masa depan? Apakah Malaysia bersedia sekali lagi untuk melihat percaturan persepsi dalam politik yang sentiasa memeriahkan dunia Malaysia kerana ini juga demokrasi bagi segelintir rakyat Malaysia.
Ada juga yang yang sudah memulakan semboyan hanya PRU kerusi Parlimen akan dipertandingkan manakala kerusi negeri akan menyusuli kemudian. Jika benar, berhati-hati dalam membuat keputusan radikal ini.
Dalam mahu menzahirkan keadaan menentu dan stabil, kita akan terus berpolitiking dari tahun ke tahun kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) juga penting. Ini bukan mustahil kerana PRN Sarawak tidak diadakan sekali dengan PRU sejak 1979. Beban kos, sumber manusia dan keselamatan perlu diambil kira tatkala kita berada dalam proses pemulihan gejala Covid-19.
Tidak ada indikator yang jelas untuk mengumumkan pembubaran Parlimen. Lazimnya, jika sekiranya ada keyakinan bahawa masyarakat cenderung sokongannya ke atas kerajaan, kita boleh jangkakan PRU sudah tiba apatah lagi terjamin kestabilan dan keadaan yang menentu.
Jauh lebih dari itu, yang bertanding mesti memahami sentimen pengundi kerana adakalanya ia memberi gambaran berlainan. Itu selalunya menentukan keputusan kerajaan untuk pembubaran Parlimen.
Saya percaya kerajaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan hanya bergantung kepada populariti beliau yang menjulang naik sepanjang tempoh masa Covid-19 atau defisit kepercayaan dalam kepimpinan gabungan Pakatan Harapan (PH) untuk memutuskan tarikh PRU. Banyak perkara lain juga harus diteliti oleh Perdana Menteri. Ini termasuk juga meminimakan masalah dalaman kerana Perikatan Nasional masih merupakan gabungan ‘Perikatan’ yang longgar apatah lagi di dalam ‘Perikatan’ ada beberapa gabungan besar.
Isu LOGO
Begitu juga dengan isu penggunaan logo, manifesto, agihan kerusi dan jentera sepadu PRU. Bagi PH, isu PH Plus perlu diatasi segera khususnya calon Perdana Menteri; hubungan antara PKR, Amanah dan DAP serta Tun Dr Mahathir Mohamad. Adakah penyokong mereka bersedia untuk membiarkan keputusan beberapa minggu lalu demi parti? Atau, soal ‘pengganti’ dan ‘komunikasi’ masih membelenggu PH?
Rakyat Malaysia sentiasa bersedia dengan PRU walaupun telah melalui siri PRK sejak 2018-2020. Yang menarik adalah apakah parti gabungan besar sudah bersedia atau mahu mengikut tren Singapura, Jepun dan Korea Selatan yang mengadakan PRU sewaktu Covid-19.
Pengalaman BN di PRU 2018 dan PH di Langkah Sheraton sudahpasti mematangkan tindakan, keputusan, gerak kerja dan masa depan parti masing-masing. Penaungan fahaman politik akan sebenarnya menentukan keputusan kali ini dengan disertai oleh personalized politics.
Pengundi kini sudah cerdik, informasi datang dengan sendirinya kepada mereka. Pengundi boleh memilih untuk keluar atau tidak; pengundi boleh setia pada parti, calon atau isu yang dibawa. Maka, kategori pengundi juga berbeza-beza. Ada yang menyokong parti dalam apa keadaan sekalipun, ada pula tidak memihak; ada juga yang suka melakukan ‘undi protes’.
Pengalaman lepas politik kepartian mengajar kita menghalusi sebarang keputusan yang mahu dibuat dalam PRU Ke-15 ini. Pengundi berumur 18 tahun juga ternanti-nanti sama ada sudah diwartakan keabsahan mereka mengundi.
Kos PRU dijangka menelan belanja 800 juta ringgit. Bersediakah kita. Perlu difikir bagaimana untuk memastikan ‘keputusan politik’ tidak sering membunuh antara satu sama lain tetapi bawa cerminan ‘politik matang’ yang memenangkan agenda rakyat kerana Akta Lompat Parti tidak ada dan masing-masing boleh menjadi kawan semula dalam jangkamasa tidak sampai 24 jam selepas berakhirnya PRU andaikata wujud percaturan politik baharu sekali lagi. Kita nantikan sidang Parlimen pada 13 Julai 2020 ini; apakah akan ada pergerakan baharu?
Bagi rakyat, PRU Ke-15 barangkali tidak seperti PRU Ke-14. Individu yang dijadikan ‘bahan kempen’ kini menjadi yang paling popular. Itulah politik tanah air. Emosi boleh menggembirakan kita sebentar tetapi kerasionalan akan membantu kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan hari-hari mendatang tanpa perlu gusar bagaimanakah keadaan politik, ekonomi dan sosial Malaysia.
Ini bergantung kepada struktur politik yang dipilih nanti. Percayalah, pemangkahan kali ini lebih penting dari PRU Ke-14 kerana kita mahukan kerajaan yang stabil, menentu dan mengambil berat masa depan rakyat dari sudut kebajikan dan kesejahteraan serta kerukunan masyarakat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
SH