PRU15: Apa pilihan UMNO?

Share

HARI ini, hasil pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kita dapati UMNO sebagai parti terbesar masyarakat bumiputera dan muslim sedang berada dalam dilema.

Populariti UMNO banyak dibantu oleh pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas, perjuangan isu rakyat dan Islam kini sedang digugat oleh usaha penubuhan PN secara rasmi.

Bersatu yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak bersedia menyertai BN mahu pun MN.

Ketidaksediaan mereka ini jelas dengan usaha mereka mahu mendaftarkan PN dan khabarnya telah pun mendapat sokongan Pas.

UMNO kini dalam dilema sama ada mahu terus memimpin BN atau menjadi parti komponen PN. Dilema ini kerana dua sebab itu kuasa dan nostalgia.

Kepada sebahagian besar ahli UMNO, MCA dan MIC, BN adalah satu nostalgia yang indah membabitkan pembangunan negara dan kebajikan rakyat. Tradisi membela rakyat dan lambang dacing bukan sahaja sekadar ikon di semenanjung tetapi juga merentasi pendalaman Sabah dan rumah panjang di Sarawak.

Seperti kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, pendaftaran PN dan penyertaan UMNO ke dalam PN adalah sijil kematian buat BN.

Isu kedua membabitkan soal kedudukan strategik parti dan ini telah memecahkan UMNO kepada dua kumpulan.

Bagi kumpulan pertama, menyertai PN bermakna membenarkan Bersatu melemahkan UMNO. Bersatu yang hanya menang 13 kerusi Parlimen dalam PRU-14 tetapi kini mempunyai 33 hasil ‘kecurian’ selepas PRU-14. BN pula hilang Sabah akibat kejadian yang sama.

Pembahagian kerusi antara Bersatu dan UMNO akan menjadi persoalan besar terutama membabitkan kerusi-kerusi yang dimenangi BN telah menyertai Bersatu dan kini menjawat jawatan penting dalam kerajaan seperti Parlimen Larut, Mersing, Tasik Gelugor, Bagan Serai dan beberapa lagi.

Kumpulan ini percaya Bersatu akan melemahkan UMNO sebaik Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dengan mandat besar dalam PRU-15.

Satu lagi kumpulan melihat UMNO sebagai parti besar yang tidak akan tumbang dengan mudah.

Selepas menyertai PN mereka boleh sahaja menguasai PN seperti mana dalam BN. Mereka percaya satu hari nanti Bersatu akan kembali kepada UMNO, atau sekurang-kurangnya Perdana Menteri selepas Muhyiddin adalah dari UMNO.

Jaminan

Pilihan pertama ialah menyertai PN. Ini hampir pasti akan membolehkan UMNO kembali dalam kerajaan selepas PRU-15. Namun tiada jaminan UMNO akan terus kukuh selepas PRU-15 dengan kuasa di tangan Muhyiddin dan tiada tanda-tanda jalan damai antara Bersatu dan UMNO.

Kedua ialah bertanding dalam bentuk kerjasama politik Muafakat Nasional. Namun ini hampir mustahil kerana Pas telah syok dengan kerja bersama Muhyiddin. Pas yakin populariti Muhyiddin akan memenangkan mereka lebih banyak kerusi.

Ketiga adalah BN bertanding sebagai entiti sendiri seperti mana sebelum ini. Ini memerlukan UMNO meyakinkan MCA dan MIC bahawa BN mempunyai peluang besar menguasai kerusi-kerusi Parlimen di Semenanjung dan Sabah.

Ini bukan sesuatu yang mustahil, namun ia memerlukan pengorbanan besar kepimpinan UMNO. UMNO harus membariskan calon-calon yang boleh meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai barisan yang lebih mantap untuk membentuk kabinet selepas PRU-15.

Walaupun tidak perlu menamakan calon Perdana Menteri, namun rakyat harus diyakinkan bahawa UMNO telah berubah dari isu-isu yang melingkari mereka sehingga menyebabkan parti kalah dalam PRU lepas.

Kajian dan penyelidikan kebolehterimaan rakyat terhadap kepimpinan UMNO harus dibuat secara telus, bukannya sekadar melihat hirarki parti. Jika perlu mereka yang tidak berada dalam hirarki parti pun boleh ditonjolkan sebagai antara calon Perdana Menteri BN.

Pilihan-pilihan pentas bertanding ini hanya boleh diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO secara bermuafakat dan menginsafi kepentingan parti lebih penting dari diri.

Justeru, adalah penting UMNO dan BN bersedia dengan semua strategi yang boleh dilaksanakan dan manifesto sendiri.

Ini akan membolehkan parti berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk berunding dan juga membuat keputusan yang tepat sebaik Parlimen dibubarkan.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!