Speaker dan Survival Kerajaan

Share

PERKARA 57 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan tentang lantikan seorang Speaker Dewan Rakyat dalam kalangan ahli Dewan Rakyat atau mereka yang layak menjadi wakil rakyat di Parlimen.
Peruntukan yang jelas mengenai usul pencalonan dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat termasuk proses pengundian untuk pemilihan Speaker.

Pertama kali dalam sejarah Dewan Rakyat, seorang Speaker yang dilantik bukan dalam kalangan wakil rakyat. Walaupun Tan Sri Mohd Ariff Yusof pernah bertanding di bawah tiket Pas dalam satu pilihan raya, beliau telah mengundur diri daripada parti politik selepas dilantik pada tahun 2018.

Ia satu normal baru kerajaan Pakatan Harapan melantik seorang Speaker yang bebas daripada parti politik. Latar belakang sebagai pensyarah, peguam dan hakim memaparkan kematangan yang tinggi sebagai Speaker yang tidak berpihak dan pada pandangan semua, seorang yang berkecuali. Setelah dilantik, tidak timbul sebarang cerita kontroversi ketika mengendalikan sidang Dewan Rakyat.

Menjelang sidang Dewan Rakyat pada 13 hari bulan Julai depan, kerajaan telah mengusulkan untuk menggantikan Mohd Ariff. Beliau tidak hilang jawatan Speaker secara automatik kerana Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan pada pertengahan penggal. Perlembagaan menetapkan Speaker hanya akan hilang jawatan apabila Parlimen dibubarkan.

Pada hemat saya, alasan pertukaran Speaker adalah berdasarkan hujah bahawa kerajaan mempunyai majoriti di Dewan Rakyat berhak memilih Speaker mereka sendiri. Ia selaras dengan peruntukan Perkara 57(2)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut bahawa Speaker hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa Dewan Rakyat membuat ketetapan sedemikian.

Perkataan ‘membuat ketetapan sedemikian’ boleh ditafsirkan termasuk usul yang dikemukakan oleh ahli Dewan Rakyat untuk menamatkan jawatan Speaker. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah membuat dua usul: menamatkan jawatan Speaker dan mencadangkan nama Speaker yang baharu.

Di United Kingdom (UK), Speaker akan mengisytiharkan keluar daripada parti politik yang diwakilinya selepas lantikan. Amalan ini mengutamakan sifat tidak berpihak walaupun beliau mempunyai pegangan dan kepercayaan politik secara peribadi.

Sifat berkecuali hendaklah sentiasa diamalkan ketika menjalankan tugas Speaker. Speaker perlu menunjukkan sifat berkecuali agar dilihat tidak menyebelahi mana-mana pihak supaya perbahasan dijalankan dengan lancar dan mewujudkan suasana perdebatan yang harmonis.

Ketika perbahasan usul, adil bermaksud memberi peluang sewajarnya kepada ahli Dewan Rakyat untuk bercakap dan tidak memihak kepada sesiapa jika perbahasan menjadi panas dan tidak sewenang-wenangnya menghalang ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan hujah-hujah mereka. Speaker mempunyai kuasa yang luas dalam Dewan Rakyat.

Jika Speaker bersikap berat sebelah, ahli Dewan Rakyat tidak dapat mengutarakan masalah rakyat dengan berkesan. Kelancaran perjalanan sidang dewan juga akan terganggu dengan pelbagai bangkangan dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli Dewan Rakyat. Berkemungkinan juga Speaker tidak berlaku adil dalam menghukum ahli Dewan Rakyat yang ingkar dengan keputusan beliau.

Apa yang perlu diperhalusi dalam pemilihan seorang Speaker? Seelok-eloknya kita memperkenalkan amalan seperti di UK di mana Speaker mengisytiharkan keluar parti yang diwakilinya setelah dipilih. Lihat juga amalan-amalan baik di negara di luar sistem Westminster. Di Amerika Syarikat pula Speaker Dewan Kongres boleh melantik orang lain untuk mempengerusikan sidang Kongres.

Konsensus

Amalan melantik Speaker daripada kalangan bukan wakil rakyat boleh dikaji dengan lebih mendalam. Tidak mustahil ahli Dewan Rakyat mencapai konsensus untuk melantik Speaker yang berkecuali dan tidak berpihak. Konsensus juga boleh dicapai untuk meminda peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang berkaitan.

Prosedur mengemukakan usul dan proses pengundian amat jelas dan telah diamalkan bertahun-tahun. Amalan sistem Westminster memberi ruang kepada parti politik yang menguasai kerajaan untuk memutuskan Speaker pilihan mereka.

Bagaimanapun, yang penting ialah kesedaran dalam kalangan ahli Dewan Rakyat bahawa Speaker perlu berlaku adil kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk bercakap supaya perbahasan dijalankan dengan lancar dan aman.

Proses membuat undang-undang bukan hanya hak eksklusif kerajaan semasa. Ahli Dewan Rakyat dibenarkan membentangkan usul rang undang-undang persendirian. Bagaimanapun, usul berkenaan sering gagal kerana Speaker tidak memberi ruang untuk dibentangkan. Speaker perlu mengutamakan urusan kerajaan tetapi prinsip keadilan dalam Parlimen memerlukan pertimbangan sewajarnya untuk Speaker membenarkan usul seperti ini.

Amanah

Parlimen adalah wadah ahli Dewan Rakyat menjalankan amanah pengundi dan berkhidmat untuk rakyat. Ahli Dewan Rakyat perlu diberi ruang untuk melunaskan tugas mereka. Speaker adalah kunci kepada ruang tersebut. Oleh itu, Speaker hendaklah berpegang kepada prinsip keadilan dan kesaksamaan. Tatkala kita mahukan Speaker yang berkecuali, kita tidak mahu Speaker yang tidak berpihak berubah mengikut telunjuk parti kerajaan.

Kerajaan Pakatan Harapan membentuk jawatankuasa reformasi Parlimen. Usaha ini penting untuk mewujudkan sebuah Parlimen yang dinamik dengan tatacara dan tatakerja yang dapat mewujudkan Parlimen yang cemerlang dan terbilang.

Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini mengusahakan pelbagai pelan pembangunan untuk melahirkan ahli Dewan Rakyat yang petah berdebat untuk menambah baik perbahasan di dalam dewan. Ini termasuk menyediakan kumpulan penyelidik untuk membantu ahli Dewan menyediakan bahan-bahan untuk perbahasan yang lebih berkesan.

Ramai pihak mengadu tentang kelakuan ahli Dewan yang tidak hadir atau lambat hadir ke sidang Dewan Rakyat. Isu disiplin begini adalah bidang kuasa ketua whip parti politik. Whip perlu lebih tegas. Kesedaran dan tanggungjawab tentang kepentingan sidang Parlimen hendaklah ditanamkan kepada setiap ahli Dewan untuk hadir dan menjalankan tugas mereka.

* Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

SH

Leave a Reply