Shafie sedia jadi calon PM bagi PH.
Saya Jadi Calon PM Jalan Penyelesaian Terbaik Untuk PH.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal percaya pencalonannya sebagai Perdana Menteri merupakan jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan kebuntuan politik yang dihadapi Pakatan harapan (PH).
Shafie bagaimanapun mengakui PH masih teragak-agak membuat keputusan memilihnya sebagai calon PM dan nampak tidak bertegas dengan rancangan berkenaan.
“Apabila saya dicadangkan sebagai calon perdana menteri, ia adalah untuk menyelesaikan kebuntuan politik semasa.
“Bagaimanapun, mengikut kenyataan terkini daripda PH, ia jelas menunjukkan mereka tidak dapat membuat keputusan muktamad.
“Saya percaya saya merupakan penyelesaian kepada kebuntuan semasa tetapi (kemudian) kita dapat lihat ketidaktentuan. Sekarang kita tidak ada keputusan, itu memang jelas,” kata Shafie, dipetik dari laporan Malaysiakini, hari ini.
PH sebelum ini membayangkan mereka akan mengambil alih semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN), namun gagal mencapai kata sepakat untuk mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM kesembilan (PM9).
Sehubungan itu, Dr Mahathir mengusulkan nama Shafie sebagai calon PM9 dengan alasan Anwar tidak layak menjadi PM kerana bukan dari parti Melayu serta tidak disenangi ramai pihak.
Majlis Presiden PH pada 6 Julai lalu bagaimanapun memutuskan untuk kekal mencalonkan Anwar sebagai calon PM.
SuaraTV
You must be logged in to post a comment.