Mahathir genap 95 tahun, penghormatan tertinggi untuk Atok.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini genap usia 95 tahun.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Mahathir adalah satu-satunya ahli politik di negara ini yang pernah memegang jawatan eksekutif tertinggi negara itu dua kali dalam sejarah, dan juga pemegang rekod sebagai perdana menteri tertua ketika dia dilantik semula pada Mei 2018.
Beliau juga merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia setakat ini, bertahan dalam lima pilihan raya umum sebagai pengerusi BN yang membolehkannya kekal berkuasa selama 22 tahun sebelum mengundurkan diri pada tahun 2003.
Mahathir kembali berkuasa setelah mengetuai pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH) dan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menentang BN pada Mei 2018.
Namun, selepas 22 bulan mentadbir, kerajaan PH digulingkan dalam kudeta politik melalui “Langkah Sheraton” yang menyaksikan Mahathir melepaskan jawatan kerana telah kehilangan sokongan majoriti anggota parlimen.
Peristiwa itu juga menyaksikan kedudukannya sebagai pengerusi Bersatu, parti yang diasaskannya pada tahun 2016 juga telah dilucutkan.
Presiden parti itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengetuai “Langkah Sheraton” mendakwa Mahathir hilang kelayakan sebagai anggota Bersatu kerana melanggar perlembagaan parti apabila memilih untuk duduk bersama pembangkang semasa sidang parlimen 18 Mei.
Mahathir berusaha untuk kembali menerajui negara sebagai perdana menteri untuk kali ketiga bersama PH.
Namun, tawaran Mahathir untuk menjadi perdana menteri buat kali ketiga tidak dipersetujui oleh PKR yang akhirnya PH kembali kepada landasan mengangkat presiden PKR, Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.
Kita tidak menafikan jasa-jasa beliau sebagai perdana menteri semasa menjawatnya pada tahun 1981 hingga 2003. Kita juga tidak lupakan kerosakan-kerosakan yang dilakukannya. Juga kita tidak lupa bagaimana pemerintahannya semasa menjawat semula jawatan perdana menteri kali kedua selama 22 bulan yang membawa “bencana” kepada kestabilan ekonomi dan politik Malaysia.
Mahathir sering menyalahkan kerajaan dan individu-individu lain namun tidak pernah mahu mengaku kegagalannya ketika mentadbir sehingga negara mengalami kerugian berbillion ringgit.
Baca : Happy 95th birthday sir, kata Najib kepada Mahathir
Antara beberapa pelaburan mega berbilion seperti Perwaja Steel, Forex dan Proton yang merupakan idea Mahathir itu gagal.
Mahathir juga menyalahkan mantan Ketua Polis Negara, Musa Hitam dan individu lain mengenai isu Ops Lalang dan Memali.
“Bila jadi Ops Lalang, dia kata eh bukan saya, salah Ketua Polis Negara, Memali bukan salah saya, salah Musa Hitam, bila Forex hilang bukan salah saya, salah bank negara.
“Perwaja Steel, bukan salah saya, salah Eric Chia, kalau Proton bukan salah saya, MAS bukan salah saya, semuanya bukan salah saya…jadi salah siapa ?
Banyak lagi senarai kesilapan dan kesalahan Mahathir yang boleh kita dapati di laman-laman internet.
Cukuplah Mahathir, bersaralah dari dunia politik dan buatlah persediaan terakhir sebelum dijemput ‘kembali’. Selamat hari lahir Atok.
“Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (bala), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu.” Ash-Ashura 30.