Batal permit warga asing burukkan negara selaras undang-undang, kata peguam

Seorang peguam berkata, keputusan Jabatan Imigresen untuk membatalkan pas warga asing yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat dengan tujuan memburukkan imej negara adalah selaras undang-undang.

A Srimurugan memberitahu FMT bahawa Seksyen 9 Akta Imigresen 1953 (Akta 155) memberi kuasa kepada ketua pengarah imigresen untuk membatalkan sebarang pas atau permit kerana keselamatan awam.

“Apabila rakyat Malaysia pergi ke negara lain, mereka perlu mematuhi undang-undang negara yang dilawati tanpa mengira pandangan mereka.

“Jika rakyat asing datang ke Malaysia dan membuat kenyataan tidak senonoh, kerajaan berhak membatalkan visa atau permit mereka,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu akan memberi kesan ke atas kebebasan bersuara, sebaliknya berkata, perlembagaan persekutuan hanya memberikan kebebasan bersuara kepada warganegaranya.

Katanya, bagaimanapun pembatalan itu mesti dilakukan mengikut proses wajar.

“Sebelum membatalkan permit atau visa, kerajaan bertanggungjawab untuk memberitahu mereka mengenai alasan pembatalan itu,” katanya.

Menurutnya, tidak semua kenyataan yang dibuat akan menyebabkan permit mereka dibatalkan.

“Hanya jika mereka memburukkan nama Malaysia atau jika niat mereka untuk memfitnah negara,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud memberi amaran kepada warga asing bahawa pas mereka akan dibatalkan jika mengeluarkan kenyataan tidak tepat yang bertujuan merosakkan imej negara.

Ia susulan kontroversi laporan bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” yang disiarkan dalam program 101 East oleh Al Jazeera pada Jumaat lalu mengenai dakwaan penganiayaan terhadap pendatang asing ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 baru-baru ini.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker