Al Jazeera : Kebebasan bersuara atau kebebasan salah guna media?
Makna kebebasan bersuara Al Jazeera
Kini semuanya sudah berubah, propaganda lama retorik lama sudah tidak boleh diguna pakai lagi untuk terus mengelirukan umum khasnya rakyat di negara ini.
Masing-masing sudah celik dalam yang dilanda arus teknologi dan dengan semua maklumat di hujung jari, bukan sesuatu yang senang untuk meracun umum lagi.
Jika dulu, media antarabangsa bebas melemparkan segala macam tuduhan dan dakwaan sesuka hati atas nama kebebasan media, apatah lagi mendapat ‘backing’ daripada segelintir pemimpin negara yang mempunyai agenda tersendiri.
Kini perkara seumpama itu mungkin tidak boleh berlaku lagi apatah lagi warga netizen kini lebih celik.
Contohnya dokumentari Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh media antarbangsa, Al Jazeera beberapa hari lepas dengan dakwaan layanan berbaur perkauman terhadap golongan warga asing ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membanteras Covid-19.
Sudahlah laporan wartawan Al Jazeera itu berat sebelah malah di Malaysia kita tidak pernah melakukan ‘lockdown’ sebaliknya hanya PKP sahaja, jelas sekali terma itu sendiri tidak difahami.
Pastinya Al Jazeera tidak menyangka dokumentari itu mendapat serangan bertubi-tubi tanpa henti dari rakyat Malaysia secara amnya sejak ia ke udara.
Gara-gara itu tidak sampai 24 jam dokumentari itu ke udara , Al Jazeera terpaksa bertindak menutup ruangan komen dokumentari itu selepas serangan netizen yang lebih popular dengan gelaran ‘balatentera bawang’.
Mungkin umum masih lagi ingat, sebelum ini seorang pengacara merangkap ahli politik Taiwan, Li Zheng Hao yang membuat kenyataan fitnah tentang situasi wabak COVID-19 di Malaysia sekitar April lepas.
Susulan itu, beratus ribu komen membanjiri akaun Facebook Zheng Hao, majoritinya adalah kaum Cina di Malaysia yang nyata panas hati dengan tindakan Li itu.
Lebih menarik, mereka juga menyebut bagaimana Zheng Hao sebenarnya tidak memahami pendekatan agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.
Akhirnya, Zheng Hao bukan sahaja membetulkan kenyataan itu sebaliknya memohon maaf secara terbuka kerana ‘silap langkah’ cuba memburukkan Malaysia dalam menangani pandemik itu.
Itulah juga yang telah berlaku dengan Al Jazeera kali ini, janganlah memandai lagi atas dasar kebebasan bersuara.
Sebelum ini, seperti sudah menjadi kebiasaan untuk segelintir media asing memburukan imej Malaysia malah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah contoh terbaik dalam isu ini.
Kerana segala macam tohmahan dan fitnah telah dilemparkan sesuka hati dan ketika itu rakyat juga ‘lebih mempercayai’ kepada laporan-laporan itu namun kini suasana sudah berubah.
Seandainya imej Malaysia dijentik, pastinya ramai tampil membela dan kebanyakan mereka adalah rakyat dan bukanlah orang berkepentingan parti politik atau NGO seperti dulu-dulu.
Baru-baru ini, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman juga membuat pendedahan di laman sosial Facebook beliau tentang laporan Al Jazeera ini.
Tulis Rahimi, dirinya tidak hairan dengan laporan Al Jazerra yang sememangnya mempunyai agenda memburukan Malaysia di mata dunia.
Sambil memberikan contoh dan bukti screen shot email dirinya pernah mengenali warga Al Jazeera ini, dakwa Rahimi, media itu lebih ‘berminat’ untuk dengan berita-berita berkaitan Pakatan Harapan (PH) sahaja.
“Kali ini depan mata rakyat Malaysia tengok sendiri betapa jahatnya media asing seperti Al Jazeera yang memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.
“Dari dulu saya kata, media asing ini, (bukan sahaja Al Jazeera) memainkan peranan penting untuk memburukkan2 kerajaan Malaysia. (kecuali kerajaan boneka kuasa asing PH). Mereka dikuasai tangan-tangan gelap yang mahu menghancurkan negara kita.
“Ini bukan kali pertama terjadi. Kerajaan pimpinan DS Najib dahulu dan beliau sendiri adalah mangsa yang paling teruk dibantai oleh media asing. Tapi masa kita cakap dulu semua tak percaya. Mat Salleh tu lah yang terrer, mat salleh tu lah yang media dia bebas, mat salleh tu lah lagi tahu pada kita..
“Sewaktu saya bekerja dgn DS Anwar, memang Al Jazeera ni berkenan betul dengan pembangkang waktu itu. Tak adanya media Al Jazeera ni bebas. Berkali-kali hubungi saya, ajak pemimpin pembangkang ke studio nak temuramah, buat laporan khas untuk BERSIH.
“Bila saya duduk dalam ‘circle’ kerajaan BN, saya hubungi rakan-rakan media barat ni. Saya buat tawaran untuk mereka dapatkan ‘the real story-penjelasan sebenar dari sudut fakta mengenai isu-isu semasa’.
“Sekor pun tak minat, mereka lebih minat berita PH waktu itu. Memang macam cilaka perangai mereka ni. Sah-sah ada agenda,” dakwanya dalam Facebook beliau.
Rahimi juga menyelitkan email penerbit rancangan 101 East Al Jazeera beberapa tahun lalu kepadanya berhubung penerbitan satu lagi dokumentari.
Apabila Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan cuba membela warga Al Jazeera semalam, beliau juga ‘teruk’ dikritik kiri kanan oleh warga netizen.
Lebih 7,500 komen hanya mengkiritik dan menyoal Fahmi tentang dokumentari itu jelas sekali melaporkan fitnah dan fakta palsu bagaimana Malaysia menangani Covid-19 baru-baru ini.
Pelik juga mengapa media-media asing ini lebih berminat dengan isu sensasi memburukan Malaysia, mengapa tidak buat dokumentari yang menceritakan negara ini mendapat pengiktirafan dunia tangani pandemik Covid-19?
Mengapa tidak buat dokumentari bagaimana warga asing ini menjadikkan Malaysia sebagai syurga dan tempat mencari rezeki, negara yang berikan mereka perlindungan selama ini?
Mengapa tidak gambarkan bagaimana Malaysia menerima golongan seperti Rohingnya sedangkan negara mereka sendiri mahupun barat tidak pula memberikan tempat untuk mereka?
Apakah motif sebenar laporan berbaur fitnah dengan fakta tidak jelas ini di terbitkan?
Hakikatnya kini sudah berubah, jangan sesekali menyemarakkan hati dan semangat rakyat di negara ini, tidak semuanya akan termakan dengan propaganda dan agenda mahupun muslihat segelintir pihak.
Malah tindakan memburukan imej Malaysia di mata dunia adalah sesuatu yang langsung tidak akan diterima selepas ini, tidak kisah apa justifikasinya. –MalaysiaGazette
You must be logged in to post a comment.