MENTERI PPBM JANGAN UJI KESABARAN UMNO
JANGAN UJI KESABARAN UMNO; PIMPINAN PPBM PERLU SEGERA PERBETUL KEADAANp
Kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar YB Dato’ Dr Abdul Latiff Ahmad yang tular hari ini sama sekali tidak boleh diterima oleh pemimpin dan ahli UMNO seluruh negara.
Kenyataan yang menyifatkan UMNO sebagai tidak laku adalah satu kenyataan yang cukup biadap, angkuh dan tidak mencerminkan realiti.
UMNO tak perlu menjustifikasi kekuatannya. Keputusan-keputusan PRK termasuklah di Kimanis sudah cukup sebagai bahan bukti bahawa UMNO bukan sekadar “laku”, malah dalam proses kebangkitan yang berterusan, insya Allah.
Maka persoalannya bukan sama ada UMNO “laku” atau tidak. Persoalannya, mengapa seorang Menteri bejawatan di PPBM tergamak mencemuh seorang rakan kongsi besar dalam Kerajaan hari ini?
Persoalannya, mengapa seorang Menteri bejawatan di PPBM mahu memperkecil parti yang menang 54 kerusi di PRU14 termasuklah kerusi Mersing?
Persoalannya, mengapa seorang Menteri berjawatan di PPBM tiada rasa segan silu setelah melompat meninggalkan kapal sewaktu susah, malah tidak langsung berterimakasih kepada jentera dan institusi yang memenangkan beliau di Mersing?
Perlu diingat, kerjasama antara parti yang membantu Kerajaan hari ini adalah kerjasama yang baru dan belum sempurna. Jika mahu kerjasama ini bertambah kukuh, pertama perlu ada keikhlasan dan kedua perlu ada sifat saling menghormati. Kenyataan seperti yang dikeuarkan Menteri KPLB hari ini langsung tidak membantu malah mengeruhkan situasi.
UMNO telah banyak berkorban dan berjiwa besar setelah kejatuhan Pakatan Harapan. Tidak perlu disenarai disini tetapi sesiapa yang mengikuti perkembangan politik akan tahu bahawa UMNO memaparkan keikhlasan dan meletak ego ketepi demi kepentingan rakyat yang dianggap lebih besar dari kepentingan parti.
Tetapi jangan uji kesabaran UMNO seolah-olah kami hanya penumpang yang boleh dicemuh sesedap rasa. Sebaliknya, PPBM perlu juga memaparkan keikhlasan yang sama.
Ke arah itu, saya berharap pimpinan PPBM boleh respon terhadap perkara ini dan segera memperbetul keadaan. Saya tidak akan masuk campur hal parti dalaman mereka – terserah kaedah apa yang mereka mahu laksanakan, tetapi sesuatu perlu dibuat.
Jika pimpinan PPBM hanya diam seribu bahasa dan membiarkan perkara ini berlalu tanpa tindakan, maka UMNO tiada pilihan selain menganggap kenyataan Menteri KPLB mewakili PPBM dan bukan sekadar kesilapan besar seorang individu.
Disaat itu, pimpinan PPBM boleh congak sendiri apa potensi kesannya jangka pendek dan panjang.
Kepada sahabat-sahabat UMNO Sabah, kita satu keluarga. Cubit peha kiri, peha kanan terasa. Percayalah bahawa UMNO di seluruh negara amat menghormati segala pengorbanan anda yang kekal istiqamah dalam perjuangan meskipun ramai lain yang memilih jalan lebih mudah. Teruskan usaha dan komitmen anda yang menjadi inspirasi kami di Semenanjung.
Shahril Sufian Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia
Baca : Penghinaan Menteri Bersatu, “Sekarang UMNO Dah Tak Laku” [Video]
You must be logged in to post a comment.