Hamzah, Ismail Sabri yang enggan ditemuramah AL Jazeera – Ambiga
Belum terlambat menteri kemuka pendapat pada Al Jazeera – Ambiga
Bekas presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia, Ambiga Sreenevasan berkata masih “belum terlambat” bagi menteri yang berkaitan untuk mengemukakan pendapat mereka berhubung dakwaan yang dibuat Al Jazeera dalam sebuah dokumentari.
Menerusinya tweetnya, Ambiga berkata organisasi berita antarabangsa itu mengaku telah meminta respons daripada Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan timbalan mereka sebelum menyiarkan laporan tersebut.
Bagaimanapun stesen berkenaan mendakwa permintaan mereka tidak dilayan.
“Dilaporkan bahawa para Menteri yang nampak menolak untuk diwawancarai oleh Al Jazeera. Sayang bukan, kerana itu adalah peluang terbaik untuk membuat penjelasan bagi pihak mereka.
“Masih belum terlambat. Mereka masih boleh melakukannya, ” kata Ambiga, yang juga bekas pengerusi Bersih dan anggota Jawatankuasa Pembaharuan Institusi ketika pentadbiran kerajaan yang lalu.
Beliau menulis hantaran itu sebagai respons terhadap tweet Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang berkongi kritikan netizen mengenai dokumentari berkenaan. Dokumenteri itu kini disiasat polis.
“Ini adalah rakyat Malaysia.
“Kerajaan juga meminta Al Jazeera mohon maaf dengan laporan tidak tepat ini kepada seluruh rakyat Malaysia,” tulis Zuraida.
Kenyataan Zuraida itu susulan gesaan Ismail Sabri agar Al Jazeera memohon maaf.
Ismail turut mengatakan dokumentari itu sebagai “tidak beretika” selain menyangkal dakwaan kerajaan bersikap perkauman.
“Locked Up in Malaysia’s Lockdown” disiarkan menerusi program 101 East Al Jazeera pada hujung minggu lalu.
Kontroversi tercetus kerana ia didakwa memutarbelitkan fakta mengenai tindakan kerajaan ketika menangani pendatang tanpa dokumen yang sah semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.
Antara lain dokumentari itu mendakwa serbuan jabatan imigresen dilakukan “ala tentera”, kanak-kanak di bawah umur digari dan pendatang ditahan di tempat yang penuh sesak.
Dokumentari itu juga mempersoalkan apakah tindakan keras itu merupakan “realiti yang praktikal dalam menangani wabak atau tindakan perkauman?” .
Laporan itu meliputi wawancara dengan migran, NGO, organisasi masyarakat sivil dan persatuan perniagaan.
Walaupun tidak menjawab mengenai dakwaan Al Jazeera bahawa permintaannya untuk mendapatkan komen tidak dilayan, Ismail berkata kerajaan Perikatan Nasional tidak menyasarkan pendatang secara khusus tetapi semua individu di kawasan tertentu yang mempunyai kes Covid-19.
“Menuduh tindakan kita sebagai rasis juga tidak benar.
“Apa yang dilakukan adalah berdasarkan undang-undang. Jabatan Imigresen Malaysia guna akta imigresen, untuk tangkap mereka yang tidak mempunyai dokumen sah,” katanya. Mkini
You must be logged in to post a comment.