Alumni MRSM gesa tindakan terhadap guru susulan kenyataan isu rogol

Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling menggesa pihak institut supaya menegur salah seorang pendidiknya yang memuat naik video dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan berunsur seksis berkenaan isu gangguan seksual.

“Tindakan sedemikian menunjukkan penyalahgunaan kedudukannya sebagai pendidik dengan sangat tidak beretika, menanamkan pandangan seksual kepada para pelajar, kami menggesa agar Mohd Norazizi Samsudain ditegur kerana melakukan tindakan yang melanggar peraturan etika profesionalnya sebagai pendidik MRSM.

“Bagaimanapun, dengan mempertimbangkan kesemua faktor, kami menasihati agar beliau hanya digantung dan bukan ditamatkan tertakluk kepada kuasa budi bicara Mara.

“Kami juga menggesa MRSM Baling supaya mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa mereka tidak menyokong “victim blaming” dan memastikan segala tindakan diambil demi persekitaran yang selamat dan kondusif,” katanya dalam kenyataan semalam.

Video yang dimuat naik menerusi Instagram, Youtube dan Twitter oleh Norazizi, yang merupakan guru Bahasa Melayu di MRSM Baling tular sejak 2 Julai lalu dan menerima kritikan teruk dari warga maya.

Video terbabit yang telah dipadamkan menerusi semua platform media sosial, mendakwa guru itu berkata antara sebab kebanyakan kejadian rogol berlaku adalah disebabkan perilaku wanita yang rambang sehingga menarik perhatian pesalah seksual.

Guru itu turut mendakwa, berdasarkan kajian hanya dua daripada 10 kes rogol adalah benar.

Beliau juga merujuk beberapa sumber tidak diketahui bagi menyokong dakwaannya.

Sementara itu, pihak alumni tersebut juga menyifatkan bahawa guru terbabit banyak membuat kenyataan menghina dalam video tersebut. (sexual slurs)

“Sebagai seorang pendidik yang ditugaskan mengendalikan belia dan pemimpin masa depan, penggunaan bahasa kesat (demeaning) dan kenyataan menghina tidak menggambarkan diri sebagai seorang guru yang berkemahiran, profesional dan kompeten.

“Norazizi turut menjelaskan bahawa mangsa yang wajar dipersalahkan dalam kejadian rogol, dia tetap berpandangan sedemikian meskipun telah mengalihkan fokus berkenaan isu pelajarnya di kelas, menolak pandangan lain yang disokong oleh pelajarnya sambil menekankan bahawa hanya pandangannya sendiri yang dapat diterima.

“Jelas, perilaku ini adalah menunjukkan penyalahgunaan kapasitinya sebagai pendidik,” kata alumni itu lagi.

Meskipun video terbabit telah dipadam, Norazizi kemudian memuat naik video lain bagi memohon maaf atas kenyataannya di akaun Instagram.

“Saya dengan rendah hati ingin membuat permohonan maaf terbuka kepada semua berkenaan kandungan sensitif saya yang tidak berdasarkan fakta benar, video saya telah disalah tafsir dan menyinggung hati ramai pihak.

“Saya juga telah memberi pandangan tanpa melihat gambaran besar dan skop realiti dengan lebih luas.

“Saya juga, tanpa sedar menggunakan bahasa kesat yang tidak bersesuaian dengan masyarat pelbagai lapisan agama, kepercayaan dan norma budaya di negara ini.

“Saya amat menyesali tindakan memuat naik video tersebut tanpa memperoleh pendapat dari pihak lebih arif,” katanya menerusi video tersebut yang dimuat naik semalam.

Beliau juga berjanji tidak akan mengulangi tindakan tersebut dan menafikan merupakan seorang penyokong perogol atau tindakan jenayah rogol atau apa-apa berkaitan dengannya.

Sementara itu, sejak 3 Julai lalu, satu petisyen menerusi laman web Change.org telah tular yang menggesa pemecatan Norazizi sebagai pendidik di MRSM Baling.

Berdasarkan jumlah terkini, petisyen tersebut kini meraih lebih 24,000 tanda tangan.

Malaysiakini telah menghubungi pengetua MRSM Baling bagi mendapatkan respons.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker