Muafakat Nasional Perkukuh Ikatan, Perbanyak Aktiviti Kegiatan Politik Di Peringkat Akar Umbi

Setiausaha Agung Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa berkata, taklimat Pembentukan Jawatankuasa MN peringkat negeri dan kawasan parlimen yang diadakan hari ini adalah bertujuan untuk mengaktifkan kegiatan politik di akar umbi.

Jelas beliau, kegiatan politik bersama atas nama MN harus diperbanyakkan agar UMNO dan PAS dapat bergerak atas satu landasan bagi memperkukuhkan peranan parti.

“Tujuan perjumpaan hari ini berikutan daripada keputusan Jawatankuasa Pemandu MN yang telah membuat keputusan supaya MN mengaktifkan kegiatan politik di akar umbi.

“Kita sudah banyak program di peringkat nasional tapi kita merasakan perlu memperbanyakkan aktiviti dianjurkan bersama atas nama MN di negeri. Justeru, kita mahu semua negeri menubuhkan secara rasmi jawatankuasa penyelaras peringkat negeri supaya mereka boleh merancang dan memberi garis panduan yang bersesuaian mengikut negeri dan peringkat parlimen mengikut jawatankusa pelaksana.

“Dengan adanya jawatankuasa negeri dan jawatankuasa pelaksana UMNO dan PAS, maka kita dapat bergerak atas satu landasan untuk memperkukuhkan peranan parti,” ujar beliau selepas program taklimat tersebut yang diadakan di Auditorium Menara Dato’ Onn, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersama jawatankuasa tersebut, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, masa dua minggu diberi untuk peringkat Negeri dan Parlimen mengemukakan senarai jawatankusa.

“Tujuan utama taklimat ini adalah untuk menubuhkan struktur MN di semua Negeri dan juga Parlimen serta mengenai hala tuju, pendekatan strategi dan gerak kerja bersama dalam rangka memperkasakan lagi MN.

“Jadi, taklimat pada hari ini juga memutuskan bahawa kita bagi masa dua minggu untuk peringkat Negeri dan Parlimen ini kemukakan senarai. Peringkat Pusat sudah ada, sudah ada jawatankuasa perunding, jawatan kuasa teknikal sekratariat bersama, sekarang ini kita pergi ke negeri dan Parlimem pula,” ujar beliau.

Hari ini, UMNO dan PAS atas nama MN mengadakan pertemuan dengan ke semua Pengerusi Badan Perhubungan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan dan Setiausaha Perhubungan kedua-dua parti, semua negeri sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pertemuan itu bagi membolehkan satu sesi taklimat secara terperinci diadakan tentang platform kerjasama dan pembentukan jawatankuasa penyelaras dan jawatankuasa pelaksana di peringkat negeri dan peringkat Parlimen melibatkan dua parti itu. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker