Bekas penagih dadah kini rawat pesakit Covid-19 harapkan peluang kedua

Seorang doktor yang pernah berkhidmat di hospital kerajaan selama 9 tahun sebelum diberhentikan akibat ketagihan dadah, membuktikan dirinya mampu bangkit dan terus menyumbang kepada masyarakat, khususnya ketika negara berperang dengan pandemik Covid-19.

Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Sassitharan, 40, berkata seorang rakannya di sebuah hospital memperkenalkan dadah jenis syabu kepadanya tanpa memberitahu beliau apakah bahan itu.

“Jadi, apa yang berlaku adalah bila saya cuba, sewaktu bangun dari tidur saya menjadi sangat bertenaga. Ketika itu, saya juga tidak tahu ia adalah dadah jenis syabu kerana bentuk fizikalnya sama seperti ubat yang digunakan untuk rawatan resdung,” katanya yang lebih mesra dengan panggilan Sassi di Persatuan Pengasih kepada FMT.

“Selepas mengetahui ia adalah dadah jenis syabu, pada hari seterusnya saya katakan pada diri, saya akan mengawal penggunaannya memandangkan saya adalah seorang doktor perubatan yang tahu akan kesan dan akibatnya.”

Dr Sassitharan (duduk, tengah) bersama petugas barisan depan di Pusat Rawatan dan Kuarantin Pesakit Covid-19 di MAEPS, Serdang.
Bermula dengan hanya menggunakan syabu yang dipercayainya dapat meningkatkan prestasi kerjanya ketika berkhidmat di sebuah hospital di Johor, beliau kemudian mengambilnya di luar waktu kerja, termasuk ketika memandu.

“Saya mula mengambilnya setiap hari sampai ke satu tahap saya tidak boleh teruskan kehidupan tanpa dadah. Kemudian saya berpindah ke Muar, sebuah kawasan luar bandar yang tidak ramai orang. Sampailah saya ditahan dalam satu sekatan jalan raya dilakukan polis.”

Beliau berkata, dadah turut mengubah personalitinya yang ceria, suka bergaul dengan masyarakat dan mesra bersama keluarga, kepada individu yang hidup dalam penafian dan badannya semakin kurus.

“Dadah membuatkan hidup saya keseorangan, saya mengasingkan diri dan hidup dalam penafian. Apabila keluarga bertanya mengenai diri, saya lawan balik hujah mereka dan bertegas saya tahu apa yang saya lakukan kerana saya seorang doktor perubatan.”

Namun, selepas menyedari perbuatannya salah dan tidak memberi manfaat buat dirinya, beliau secara sukarela ke Persatuan Pengasih untuk menjalani rawatan dan kini menjadi doktor “in house” persatuan itu.

Dr Sassitharan berpakaian perlindungan diri (PPE) lengkap untuk merawat pesakit Covid-19.
Sassi kemudiannya berusaha mentelaah ilmu perubatan yang pernah dipelajarnya di sebuah universiti di Rusia dan bekerja sebagai doktor lokum di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Namun, saya tetap akan pulang ke Pengasih selepas waktu kerja. Semasa berkhidmat sebagai doktor lokum, gaji saya dibayar mengikut jumlah waktu saya bekerja.

“Bayangkan sebagai individu dalam fasa pemulihan, pada mulanya saya hanya diberikan satu atau 2 slot saja, kemudian diberikan slot tetap dan kini saya bertugas sebagai doktor tetap di salah satu klinik di sini.”

Selepas episod hitam itu, beliau bertekad tidak kembali ke kancah penagihan dadah dan rutin hariannya berubah sejak 2 bulan lalu dengan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) merawat pesakit Covid-19 secara sukarela.

“Apabila wabak Covid-19 menyerang negara, kerajaan memerlukan lebih tenaga kerja doktor. Jadi, saya libatkan diri sebagai sukarelawan untuk berkhidmat kepada negara. Di situ, saya diberi peluang sebagai petugas barisan depan di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya seorang daripada doktor yang membuat ujian saringan untuk pesakit Covid-19. Selepas itu, saya diberikan kepercayaan dan dihantar ke Pusat Rawatan dan Kuarantin Pesakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS), Serdang.”

Beliau yang berasal dari Negeri Sembilan, sempat bergambar dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, individu dikagumi ramai di dalam dan luar negara atas kejayaan Malaysia membendung penularan Covid-19.

Sassi berharap akan diberikan peluang kedua untuk berkhidmat dalam sektor awam semula.

“Saya bukan penjenayah dan yakin sudah berubah,” katanya yang juga berhasrat menyambung semula pendidikan ke peringkat ijazah sarjana.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker