2 anggota polis cedera kenderaan terbalik
DUA anggota polis yang dalam perjalanan menuju ke tempat bertugas cedera ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Felda Sahabat 7, Jalan Tungku – Felda Sahabat, Lahad Datu, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, kedua-dua anggota yang menaiki Isuzu Westar milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan dalam perjalanan dari arah Tambisan menuju ke tempat tugas di Gate 55, Felda Sahabat.
Bagaimanapun, sebaik tiba dilokasi, keadaan hujan lebat dan berselekoh dipercayai menjadi punca kenderaan pasukan polis itu terbabas.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan menyebabkan kenderaan terbabas dan terbalik di bahu jalan sebelah kanan di laluan bertentangan.
Katanya, akibat kejadian itu, pemandu dan penumpang berusia 32 dan 34 tahun mengalami kecederaan.
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Lahad Datu menggunakan kenderaan awam untuk menerima rawatan selanjutnya.
“Kenderaan berkenaan juga mengalami kerosakan teruk di hampir keseluruhan bahagian badan kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Nasri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
HM
You must be logged in to post a comment.