Projek kereta nasional diteruskan juga oleh k’jaan PN.
Projek kereta nasional ketiga diteruskan
Kerajaan akan meneruskan projek kereta nasional ketiga meskipun berlaku perubahan kepimpinan negara pada Mac lalu, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) turut meminta Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Daihatsu untuk memberi taklimat serta membentangkan kertas kerja kepada kerajaan mengenai kaedah kedua syarikat automotif itu dapat membantu membangunkan projek kereta nasional ketiga.
“Ini adalah demi keperluan untuk mengembangkan sektor automotif negara. Saya juga mencadangkan kepada pengurusan (DreamEDGE) untuk memberikan taklimat mengenai kemajuan kereta nasional ketiga.
“Ini kerana kita sudah mengenal pasti platform dan pelaksanaannya. Perkara ini perlu diperjelaskan,” katanya selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, Perodua Suppliers Association (P2SA) dan Perodua Dealers Association (PDA).
Mohamed Azmin turut menyatakan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) diteruskan kerana ia adalah agenda dan rangka kerja untuk industri automotif masa hadapan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata cadangan Menteri Kanan itu akan disempurnakan oleh pihaknya secepat mungkin.
Beliau berkata, cadangan kertas kerja itu juga tidak semestinya merangkumi projek kereta nasional baru sahaja tetapi membabitkan ekosistem industri secara keseluruhan.
“Kita akan bentangkan kepada kerajaan bagaimana PERODUA dapat membantu ekosistem automotif tempatan, bukan saja tertumpu kepada kereta nasional ketiga.
“Ia merangkumi ekosistem dari tenaga kerja hinggalah teknologi serta vendor,” katanya.