22 Bulan PH Memerintah Jadikan Iktibar… Terus Perkasakan Parti, Susun Strategi – Tok Mat
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, pelbagai pengalaman serta pengajaran yang boleh diambil serta dijadikan iktibar khususnya soal perpecahan dan sebagainya lagi.
Menurut beliau apa yang penting hari ini parti perlu membina kekuatan serta mempunyai hala tuju yang cukup jelas serta pada masa yang sama menyusun strategi yang terbaik dan kedua-duanya itu adalah ramuan untuk menempuh apa jua badai dan cabaran yang berada di depan.
“22 bulan di bawah PH rasanya kita dah belajar banyak dan perlu ambil iktibar di mana kita, peranan kita dan apa akibatnya kerana perpecahan dan macam-macam lagi.
“…kita hilang kuasa maka UMNO juga perlu belajar daripada itu dan bukan sahaja individu tetapi sebagai parti, kepimpinan parti hala tuju parti mesti betul. Apabila hala tuju parti itu betul kita di landasan yang senang kita berjalan. Landasan yang bengkang-bengkok kadang susah…bersimpang siur susah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program ‘Kabo Chini’ yang disiarkan secara Live menerusi Facebook UMNO Online yang dihoskan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid.
Jelas Mohamad lagi, apabila sudah mendapat landasan yang baik maka satu strategi mestilah disusun supaya orang Melayu jangan berpecah-belah dan parti Melayu mesti bergabung.
“….dan kita mesti lihat supaya kepentingan-kepentingan adalah untuk membina semula kekuatan parti. Apabila terbina kekuatan parti atas kesedaran tersebut kita boleh menempuh dan merempuh apa sahaja yang ada di depan. Insya-Allah,” ujarnya.
Tambah Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat, jelas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini parti tidak menemui jalan buntu malah rakyat telah dapat melihat dengan jelas apa yang parti hendak dibawa.
“Orang dah nampak jelas bahawa ini hala tuju parti kita dan ini hala tuju yang hendak kita bawa dan ini dia yang yang kita nak hamparkan kepada orang ramai nanti.
“Kita tidak meminggirkan sesiapa tetapi jelas bahawa ini hala tuju parti kita dan kita nak bina negara semula,” katanya.
Justeru tegas beliau setiap pemimpin di peringkat apa jua mesti jelas akan hala tuju parti.
“Sebab itu selalu saya cakap dua sahaja (hala tuju) …perkasakan parti dan susun strategi nak menang PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15). Perkasakan parti macam mana…kurangkan konflik dalaman dan perkasalah parti. Jangan kita berbalah-balah dan kumpulkan orang Melayu balik.
“Strategi dia kita dah ada ‘busines module’…’business plan’ kita…itu sebabnya kita buat Muafakat Nasional dan itu strategi. Sebab itu jelas strategi kita berjaya dan akhirnya kerana terlampau takut kat kita PH akhirnya gugur dengan sendiri. Mereka jatuh dengan sendiri dan selalu saya katakan buah dah jatuh kita makanlah. Kita tidak jolok pun dan ianya jatuh depan mata. Tidak makan ‘bodohlah’ kan… Tetapi belajar jangan pula nanti kita jatuh sendiri .
“Ini perlu kita terangkan dan ini perlu dapat dilihat dengan jelas oleh rakyat bahawa inilah dia hamparan yang kita mahu beri kepada rakyat Malaysia jika diberikan kepercayaan semula untuk kita mentadbir negara,” ujarnya.
Tambah Tok Mat perubahan secara mendadak tentunya sukar khususnya bagi sesebuah parti yang besar.
“Jadi gambaran dan wajah ini perlu kita kemukakan. Nak berubah 90 darjah susah. Kalau dapat berubah 45 darjah dulu pun oklah…Alhamdulillah. Jelas kerana parti yang besar susah untuk berubah sehingga 90 darjah. Kapal ‘supertanker’ nak berubah beberapa darjah pun susah.
“Jadi kita perlahan-lahan tetapi kita mengambil usaha dan berusaha untuk berubah. Orang akan lihat ada usaha untuk berubah dan insya-Allah orang akan memberi kepercayaan semula. Apa sahaja kepentingan tolak ke tepi dan kepentingan parti diutamakan dan paling di atas,” katanya.- UMNO Online
You must be logged in to post a comment.