Kuliah, solat dhuha, kelas mengaji dan fardu ain dibenar mulai minggu ini
Kerajaan hari ini membenarkan kuliah, solat dhuha, kelas mengaji dan fardu ain untuk diadakan di masjid serta surau bermula minggu ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengikut saiz dan kapasiti masjid dan surau.
“Masjid dan surau juga diberi kebenaran untuk mengadakan tazkirah sebelum Solat Jumaat tertakluk kepada SOP yang ditetapkan bermula Jumaat ini (3 Julai),” katanya pada sidang media berkenaan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.
Menurut Ismail Sabri, mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga telah meneliti pembentangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan pembukaan Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta SOP bagi kemasukan pelajar tempatan dan antarabangsa.
“Mesyuarat bersetuju dengan pembentangan KPT dan pihak KPT akan mengumumkan SOP terperinci serta tarikh pembukaan IPT,” katanya.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bakal melancarkan Kempen Kesedaran COVID-19 di seluruh negara dan pelancarannya akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum akhir bulan ini.
Kempen itu diadakan dalam usaha menerapkan budaya normal baharu serta kawalan kendiri bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Bagi memberi peluang dan ruang kepada semua rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara mahupun di luar negara untuk menzahirkan kreativiti mereka, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga akan menganjurkan Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Kesedaran COVID-19.
“Pertandingan ini dibuka mulai hari ini hingga 10 Julai sebelum pukul 12 tengah malam dan semua rakyat Malaysia layak untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.
Hadiah tempat pertama adalah wang tunai RM5,000, tempat kedua RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000 yang akan disampaikan oleh Muhyiddin.
Maklumat lanjut mengenai penyertaan pertandingan ini boleh didapati dari laman sesawang KKMM di WWW.KKMM.GOV.MY atau laman web Jabatan Penerangan Malaysia di WWW.PENERANGAN.GOV.MY.
— BERNAMA
You must be logged in to post a comment.