‘Senarai PN’ – Bersatu tanding 50 kerusi palsu, berniat jahat -Muafakat Nasional

Umno dan PAS masing-masing menafikan senarai calon dan agihan kerusi yang kononnya dikeluarkan oleh Perikatan Nasional (PN) bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.

 

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, senarai tersebut adalah palsu dan tidak berasas malah tindakan berniat jahat oleh pihak tertentu.

“Ia hanyalah satu tindakan perang psikologi pihak-pihak tertentu yang mempunyai niat tidak baik bagi mencetuskan kesangsian di kalangan parti-parti dalam kerajaan dan pendokong-pendokong parti akar umbi.

“Mana mungkin senarai calon sudah disiapkan sedangkan perundingan mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan parti-parti juga belum bermula,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, di Kota Bahru, hari ini.

Terdahulu senarai tersebut tular khususnya melalui kumpulan aplikasi WhatsApp yang mengandungi agihan kerusi parlimen seluruh negara antara Umno, PAS dan Bersatu.

Asyraf berkata buat masa ini fokus Umno hanyalah hendak memastikan kerajaan sedia ada mampu dipertahankan.

“Ia bagi membolehkan segala usaha menjana semula ekonomi negara dan memperkasa kebajikan rakyat pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Covid-19 dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya yang turut dicalonkan sebagai calon bagi parlimen Tumpat dalam senarai tersebut.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan perkara itu.

“Jawatankuasa (parti) belum bincang isu kerusi. Saya menafikan perkara (senarai) tersebut,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Dalam senarai tersebut parti Bersatu antaranya diberikan 50 kerusi parlimen untuk bertanding, manakala PAS disenaraikan bertanding 30 kerusi.

Menerusi senarai itu juga, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan dikatakan tidak lagi bertanding di kerusi Parlimen sebaliknya akan bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tanjong Mas.

Ini bagi membolehkan beliau dicalonkan sebagai menteri besar Kelantan menggantikan Ahmad Yakob yang disenaraikan menjadi calon Parlimen Pengkalan Chepa.

Selain itu anggota Parlimen Ketereh, Annuar Musa disenaraikan bertanding di Parlimen Kubang Kerian, manakala kerusinya itu diberikan kepada Radzi Jidin daripada Bersatu.

MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker