PRK Chini: Pusat pengundian awal ditutup 12 tengah hari tadi

PEKAN, 30 Jun — Pusat pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini dekat sini ditutup tepat pukul 12 tengah hari ini.

Pengundian awal itu melibatkan 17 daripada 18 pengundi anggota polis yang layak mengundi hari ini.

Proses pengundian awal yang berlangsung selama empat jam bermula 8.00 pagi tadi turut disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding pada PRK berkenaan, selain kalangan pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peti-peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari mengundi Sabtu ini di pusat penjumlahan undi di Bilik Maklumat, Balai Polis Paloh Hinai.

Turut meninjau perjalanan proses pengundian awal ialah Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak, Pegawai Pengurus PRK Chini Datuk Zaliza Zulkifli serta tiga calon bertanding – calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Zaliza pada sidang media memaklumkan bahawa proses pengundian awal itu berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden.

“Saya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang ditetapkan dalam proses undi awal PRK Chini. Ia berjalan lancar tanpa berlaku sebarang insiden,” katanya.

Mohd Sharim, Tengku Zainul Hisham dan Mohd Shukri ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat berkenaan masing-masing berkata mereka turut berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian awal yang dibuat dalam normal baharu itu.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi, dengan 90.39 peratus atau 19,058 adalah pengundi Melayu. Pemilih terdiri daripada 10,269 lelaki dan 10,721 perempuan.

DUN Chini, adalah satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas dan PRK ke-11 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker