Anwar Tolak Politik Tipu Helah Mahathir

Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa orang ramai untuk menolak helah dan muslihat politik, beberapa jam selepas pesaingnya Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri blok pembangkang.

Membuat hantaran di media sosial, Anwar menulis dengan huruf besar,” tolak politik tipu helah.”

“Politik tidak sekadar perebutan kuasa tetapi juga tentang bagaimana ia mahu diterjemahkan.

“Untuk membela rakyat atau sekadar meneruskan sistem lama yang lapuk dan usang,” katanya yang mengulang soalan yang diutarakannya semalam.

Hari ini, Anwar turut berkongsi video yang mengandungi rakaman petikan daripada ucapan dalam talian yang disampaikan beliau semalam.

“Dalam keadaan sekarang ada yang menangguk di air keruh, ada yang sekonyong-konyong nak muncul jadi juara…

“Tetapi apa yang saya nak tegaskan balik pada landasan.

“Politik ini bukan sepak terajang politikus untukk sekadar mencari helah taktik untuk merebut kuasa. Politik adalah terkait dengan urus tadbir, persoalan rakyat.

“Apakah dasar yang dikemukakan? Apakah dasar ini mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk rasuah menindas seperti yang berlaku, sekarang atau pun dahulu,” soal MP Port Dickson dalam video yang dikongsinya itu.

Rancangan Pakatan Harapan untuk merebut kembali Putrajaya tersekat apabila PKR menegaskan bahawa Anwar dan bukan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang perlu menerajui kerajaan.

Bagaimanapun, DAP dan Amanah mahu Anwar berkompromi dan menjadi timbalan Mahathir selama enam bulan sebelum mengambil alih perdana menteri.

Berhadapan jalan buntu, Mahathir memutuskan untuk menarik diri daripada persaingan ke jawatan itu.

Sebagai gantinya, bersama pemimpin tertinggi DAP dan Amanah, Mahathir telah memutuskan untuk menyokong Shafie sebagai perdana menteri, dengan Anwar dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan.

Amanah dan DAP berkata perkara itu masih perlu dibincangkan di peringkat PH.

Sementara itu, Anwar dalam ucapannya semalam, berkata beliau sukar untuk kembali bekerjasama dan berkompromi untuk mengekalkan “yang lama dan usang”.

Katanya, rakyat Malaysia mampu merealisasikan perubahan yang sebenarnya dan akan menolak permainan politik kotor.

“Untuk saya secara peribadi untuk dolak-dalik dan tolak ansur untuk kekalkan keadaan usang yang lama itu agak sukar.

“Malaysia sekarang ini dan rakyat mampu mendepani masalah ini. Mampu bawa perubahan yang benar.

“Politik dan penguasa bukan untk kayakan diri dan keluarga untuk teruskan nafsu serakah dan lemparkan dendam kesumat kepada orang.

“Tetapi untuk cari titik perdamaian dan merangkul kekuatan. Jadikan Malaysia ini negara yang indah untuk semua,” katanya lagi.

MK

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker