Kempen Mohd Sharim liputi lebih 60 peratus kawasan DUN Chini

PEKAN, 26 Jun — Memasuki hari ketujuh berkempen hari ini, calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain, telah menjalankan kempennya meliputi lebih 60 peratus kawasan DUN.

Pemuda berusia 41 tahun itu berkata, kawasan berkenaan merangkumi kawasan perkampungan Orang Asli dan perkampungan tradisional, serta sebahagian Gugusan Felda Chini.

“Baki 40 peratus ini yang belum kita jelajah ini adalah di sekitar kawasan Felda dan saya akan lipat gandakan lagi bertemu pengundi muda serta warga emas, di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sesi Memperkenalkan Calon BN di Dewan Mempelas, Kampung Salong, dekat sini petang ini.



Mohd Sharim yang diiringi Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, kemudiannya turut meluangkan masa melawat pusat media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kampung Salong, sebelum kembali berkempen pada sebelah malam.

Ujar Sharim, berdasarkan maklum balas yang diterima ketika berkempen, ramai pengundi menyatakan sokongan padu kepada BN.

“Sepanjang tempoh kempen memasuki hari ketujuh ini, saya menerima sokongan yang positif datang daripada masyarakat setempat. Mereka harapkan seorang calon yang boleh membawa kemajuan di kawasan DUN Chini,” katanya.

Pengundian PRK DUN Chini 4 Julai nanti melibatkan pertembungan antara Mohd Sharim dengan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.



DUN Chini merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, dengan daftar pemilih 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker