3 tentera laut maut selepas lori bawa bekalan terbabas di Sabah
RANAU: Tiga anggota tentera laut dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan Sandakan maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Ranau-Tamparuli dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata 7 anggota serta pegawai bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta pacuan empat roda untuk membantu operasi, selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.03 tengah hari.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba dan penyelamat mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori TLDM yang terbabas sendiri. Pasukan bomba dan penyelamat bertindak mengalihkan mereka yang terlibat dari lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Mawilla 2 di Sandakan dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang maut ialah Maslim Abdul Rahim dari Semporna, Mohamad Firdaus Mat Izan (Kluang, Johor) dan Muhammad Arif Idris (Melaka), manakala yang cedera ialah Vincent M Orel.
“Dalam kejadian itu, kenderaan jenis lori 3 tan milik TLDM hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan. Semua anggota yang terlibat dalam nahas itu dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi.”
FMT
You must be logged in to post a comment.