PRK CHINI: Pengundi Sokong Calon BN, Sharim Mudah Didekati Dan Terima Pandangan

CHINI, 21 Jun – Calon muda Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain menjadi perhatian penduduk di sini khususnya golongan belia, yang jelas begitu teruja dengan kepercayaan pemimpin parti meletakkan golongan muda untuk menjadi wakil rakyat.

Tinjauan UMNO-Online mendapati penduduk setempat sepakat menyokong usaha yang mahu dilaksanakan Mohd Sharim untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Bagi Mahani Yahaya, 52, dari Felda Chini 5, Sharim merupakan seorang anak muda yang bukan sahaja dikenali masyarakat setempat malah berketrampilan tinggi.

“Saya amat bersetuju dengan calon yang diajukan oleh BN apatah lagi ramai anak muda juga menyetujui calon ini. Dengan masyarakat, Sharim tiada masalah dan beliau boleh dibawa ketepi ataupun ketengah… tiada masalah. Apabila memberi pandangan ia mudah diterima.

“Kita di DUN Chini ini merasa gembira dan terharu apabila Sharim dicalonkan kerana dia adalah anak tempatan. Beliau banyak berjasa kepada masyarakat di sini dan juga pandai berinteraksi dengan anak-anak muda di Felda Chini,” ujar beliau.

Dalam pada itu menurut Norhasliza Shukeri, 32 dari Felda Chini 5, juga mengakui Sharim dikenali ramai terutamanya masyarakat belia di sini.

“Sharim adalah calon yang terbaik dan beliau pernah mengikut Allahyarham Datuk Abu Bakar Harun. Beliau juga adalah belia Felda dan ramai yang mengenalinya. Beliau juga banyak membantu kami dan saya merasa gembira apabila Sharim menjadi calon PRK DUN Chini.

“Saya merasa gembira apabila nama Sharim yang diumumkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Beliau cukup mudah didekati dan senang apabila bekerjasama dengannya.

“Sharim tiada masalah dengan masyarakat di Felda ini, beliau ‘cool’. Beliau banyak belajar dari Arwah dan kita nampak perwatakan yang baik,” ujar anak generasi kedua Felda Chini ini.

Sementara itu menurut Mohd Sampul Choh, 64 dari Felda Chini 4, yang juga merupakan pengundi tempatan, BN adalah parti yang terbaik dan mempunyai matlamat masa hadapan berbanding parti lain atau calon lain sekalipun.

“Bagi pendapat saya lebih elok BN. Bukan kita terlampau kepartian tapi… kita ambil kehidupan harian. Kalau kita ambil pengalaman yang kemudian… kita ambil BN. Saya memang memangkah BN sebab pengalaman BN begitu luas.

“Parti yang lain tiada matlamat… hanya BN sahaja yang ada matlamat, yang lain hanya ‘cerita kosong’, “ ujar generasi pertama Felda Chini ini.

Baharuddin Mar Desa, 67, dari Felda Chini 4 juga memaklumkan sudah semestinya akan menyokong Sharim dan mengundi BN kerana yang penting adalah semangat parti yang lebih diutamakan.

“Semangat parti lebih penting dan besar, kehendak manusia tidak boleh mengikutnya. Tanggungjawab mesti ditunaikan. Apa yang Arwah Abu Bakar lakukan untuk rakyat Chini … haruslah ikut dan diteruskan,” tegasnya.

PRK Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan 20 Jun ini sebagai hari penamaan, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).- UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker