Apa yang kita perlu tahu mengenai tuntutan Malaysia di Laut China Selatan
oleh Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen dan Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli
LAUT China Selatan adalah suatu kawasan perairan yang luas dan dibatasi banyak negara seperti Malaysia, Vietnam, Indonesia, Brunei Darussalam, Filipina dan China.
Tidak terkecuali Singapura yang juga memiliki wilayah maritim yang kecil di Laut China Selatan menerusi Batu Puteh.
Laut China Selatan merupakan nadi perdagangan dan pengangkutan antarabangsa berdasarkan kepada kedudukannya di tengah-tengah laluan utama Timur dan Barat.
Selain itu, Laut China Selatan sangat penting kepada kestabilan ekonomi dunia di mana ia mempunyai khazanah yang cukup bernilai seperti sumber petroleum dan gas asli.
Faktor geografi dan ekonomi ini telah menyebabkan Laut China Selatan menjadi rebutan negara-negara pesisir.
Secara amnya, Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982 memberikan peruntukan bahawa sesebuah negara pesisir boleh menuntut sehingga 12 batu nautika laut wilayah diukur dari garis dasar, biasanya dari paras air surut di pantai.
Negara pesisir mempunyai kedaulatan di wilayah laut, yang meliputi kedaulatan ke atas dasar laut, air laut serta ruang udara di atasnya.
Kapal-kapal asing yang melewati wilayah laut sesebuah negara pesisir hanya boleh mengamalkan hak lintas damai bagi tujuan pelayaran sahaja.
Sekiranya kapal tersebut melakukan aktiviti yang tidak ada kaitan dengan pelayaran, seperti menangkap ikan atau penyelidikan, kapal asing tersebut boleh diusir keluar.
Melangkaui zon 12 batu nautika, negara pesisir boleh menuntut zon ekonomi eksklusif (EEZ), iaitu kawasan air laut sehingga ke 200 batu nautika jauhnya diukur dari garis dasar negara pesisir.
Di zon ini, negara pesisir boleh menuntut hak kedaulatan bagi tujuan mengeksploitasi sumber-sumber laut yang ada di zon ini. Kapal-kapal asing tidak perlu mengamalkan hak lintas damai kerana kebebasan pelayaran terpakai di zon ini.
Selain itu, negara pesisir boleh juga menuntut kawasan dasar laut yang melangkaui 12 batu nautika sehingga 200 batu nautika, yang dikenali sebagai pelantar benua.
Seperti EEZ, negara pesisir memiliki hak kedaulatan untuk mengeksploitasi sumber alam di kawasan pelantar benua dasar laut ini.
Memandangkan Laut China Selatan dibatasi banyak negara, Malaysia, Vietnam, Brunei, Filipina dan Indonesia boleh menuntut bukan sahaja wilayah laut malah EEZ serta pelantar benua di kawasan maritim ini.
Hanya China sahaja negara yang mempunyai tuntutan luar biasa, iaitu tuntutan sembilan garis putus yang bukan merupakan tuntutan laut wilayah, EEZ mahupun pelantar benua.
Ini adalah tuntutan perairan bersejarah yang tidak diperuntukkan oleh Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982, yang mana China adalah negara anggota.
Banyak pakar undang-undang laut antarabangsa telah mengatakan bahawa tuntutan bersejarah China ini tidak sah.
Sebagai contoh, Profesor Emiritus Carlyle Thayer daripada University of New South Wales berhujah bahawa tuntutan China menggunakan warisan bersejarah bagi menuntut kedaulatan ke atas Laut China Selatan adalah tidak berasas menurut undang-undang laut antarabangsa.
Tuntutan sembilan garis putus ini juga jelas bertindih dengan tuntutan Malaysia di Laut China Selatan.
Apa yang Malaysia boleh lakukan?
Sehingga kini, tidak ada perbatasan maritim jelas di Laut China Selatan dan kesemua negara yang menuntut boleh membuat tuntutan wilayah maritim di kawasan perairan yang luas itu.
China juga berkeras dengan tuntutan sembilan garis putus tersebut dan telah membakulsampahkan apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa pada tahun 2016 dengan alasan prosiding tersebut dijalankan secara sepihak oleh Filipina.
Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa dengan jelas tidak bersetuju dengan tuntutan China dan secara langsung atau tidak langsung menunjukkan dunia tidak bersama China dalam tuntutan sembilan garis putus tersebut.
Undang-undang antarabangsa ada menuturkan bahawa sesebuah negara boleh menjadikan sesuatu wilayah tersebut miliknya menerusi kaedah prescription, atau pengakuan.
Sekiranya sesebuah negara mengamalkan kedaulatan ke atas mana-mana wilayah tanpa dibantah oleh mana-mana negara yang lain, lama kelamaan wilayah itu boleh menjadi milik negara tersebut secara sah.
Adalah penting bagi sesebuah negara untuk menjadi ‘pembangkang yang berterusan’ atau persistent objector sekiranya negara tersebut tidak berpuas hati dengan tuntutan atau amalan negara-negara lain.
Kejadian di mana China masuk ke wilayah tuntutan Malaysia di Laut China Selatan seringkali terjadi dewasa ini.
Terbaru, di saat Malaysia sedang berperang dengan pandemik Covid-19, sebuah kapal milik China dilaporkan melakukan tinjaun di dalam kawasan rebutan di antara Malaysia, Vietnam dan juga China, berdekatan dengan kapal yang dikendalikan Petronas.
Apabila ini berlaku, banyak rakyat yang panik dan warganet di Facebook, Instragram atau Twitter mula riuh.
Sebenarnya, China hanya mengamalkan kedaulatan di kawasan maritim yang menurutnya, adalah miliknya.
Jadi Malaysia juga perlu melakukan perkara yang sama dengan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia juga mempunyai tuntutan di kawasan yang dituntut oleh banyak negara lain di Laut China Selatan.
Ini boleh dilakukan dengan melakukan rondaan atau
apa-apa aktiviti lain yang dibenarkan oleh Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa 1982.
Sekiranya China masuk ke perairan yang dituntut oleh Malaysia, Putrajaya harus bertegas dengan membuat bantahan diplomatik terhadap apa yang dilakukan oleh kuasa asing tersebut.
Bantahan in perlu sebagai rekod untuk menunjukkan Malaysia adalah persistent objector dan tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh China.
Sekiranya Putrajaya senyap dan berdiam diri, ini boleh dianggap manifestasi pengakuan Malaysia terhadap kedaulatan China di kawasan pertikaian tersebut.
Memang benar hubungan baik dengan China perlu dijaga, namun kedaulatan negara tiada taranya.
Putrajaya juga perlu berhenti mengatakan bahawa China adalah negara yang berjiran dengan Malaysia, seperti kesilapan yang pernah dilakukan oleh bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
China tidak akan dan tidak pernah menjadi negara yang berkongsi sempadan atau berjiran dengan Malaysia.
Ketegasan ini adalah penting bagi memastikan tuntutan Malaysia di Laut China Selatan tidak tinggal hanya sekadar tuntutan.
Adakah Malaysia sanggup lagi untuk berdepan kehilangan sebagaimana Batu Puteh terlepas ke tangan negara lain?
* Leftenan Komander (Kehormat) Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Leftenan Komander, Pasukan Simpanan Sukarela, Tentera Laut DiRaja Malaysia.
** Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.
Awani
Isu pencerobohan China: Jangan politikkan kedaulatan negara, pakar beritahu Hisham