Isu pencerobohan China: Jangan politikkan kedaulatan negara, pakar beritahu Hisham

Seorang pakar keselamatan mengingatkan Menteri Luar, Hishammuddin Hussein yang isu keselamatan negara, khasnya pencerobohan Laut China Selatan oleh Beijing tidak boleh dipolitikkan dan dikompromi atau Malaysia akan hilang kedaulatannya dan menghadapi ancaman besar.

Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis, Mizan Mohammad Aslam berkata, kenyataan Hishammuddin yang tiada lagi kapal tentera China menceroboh perairan negara sejak Perikatan Nasional menerajui Putrajaya hanya berbentuk penafian dan lebih terarah kepada “politik”.

“Perkara sama dilihat sering berlaku ketika Pakatan Harapan memerintah negara yang mengakibatkan banyak kes keselamatan negara gagal dibezakan dengan mainan dan kenyataan politik, akhirnya keselamatan negara terancam dan kedaulatan negara tergadai,” katanya kepada FMT.

Mizan berkata, isu cubaan China menguasai Laut China Selatan turut didedahkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo yang menuduh Beijing bermaharajalela di perairan itu.

“Malah, AS secara keras menolak sama sekali tuntutan China ke atas kepentingan pulau itu dan kawasan lain di Laut China Selatan. AS dan Jepun juga menyatakan China bercita-cita menjadikan Laut China Selatan sebagai pangkalan ketenteraan mereka.

“Pembinaan logistik ketenteraan, perikanan, komunikasi oleh China di terumbu layang-layang, Atoll, Beting Ali dan lain-lainnya amat jelas memperlihatkan betapa agresifnya China di wilayah Laut China Selatan yang memberi kesan kepada pelbagai negara Asean, termasuk Malaysia.”

Beliau mencadangkan Putrajaya bekerjasama dengan negara Asean lain dan mendapatkan sokongan padu AS menubuhkan pasukan bertindak bersama untuk menghalang Beijing terus mencerobohi Laut China Selatan.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara jelas menunjukkan terdapat pencerobohan di Laut China Selatan dan kawasan perairan negara sebanyak 89 kali melalui Ops Wira serta Ops Sinar Bakti.

Tetapi, Mizan mendakwa terdapat 238 pencerobohan dan 1,493 pengesanan perairan negara diceroboh dari 2016 hingga 2019.

“Ini hanya untuk tempoh 4 tahun dari 2016 hingga 2019 saja. Data ini daripada sumber ketua audit negara dan Tentera Laut Diraja Malaysia. Apa yang pasti, jumlah itu yang dapat dikesan. Bagaimana pula yang tidak dapat dikesan, mungkin jumlahnya jauh lebih besar.”

Pada 15 Julai lalu, Hishammuddin berkata, tiada lagi kapal pengawal pantai dan tentera laut China dikesan menceroboh perairan negara ketika ini.

Katanya mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 3 mendedahkan kapal pengawal pantai dan tentera laut China menceroboh perairan negara 89 kali dari 2016 hingga 2019 serta kehadiran mereka dikenal pasti berhubung tuntutan di Laut China Selatan, khususnya di Beting Patinggi Ali (BPA).

Susulan itu, bekas menteri luar, Anifah Aman pada Khamis lalu membidas Hishammuddin dengan berkata, menteri itu sama ada tidak boleh menerima hakikat atau tidak tahu fakta.

Katanya, sekumpulan kapal penguat kuasa China dilihat mengiringi sebuah kapal peninjau China di perairan Malaysia April lalu – beliau merujuk insiden West Capella, iaitu kapal disewa Petronas yang terlibat dalam kejadian digelar AS sebagai ketegangan membabitkan pegawal pantai China diiringi kapal peninjau serta flotilla kapal perang.

Anifah yang juga menteri luar dari 2009 hingga 2018 berkata, beliau turut dimaklumkan kapal pengawal pantai China dilihat berdekatan BPA pada Mei, Jun serta bulan ini.

Hishammuddin kemudiannya menjelaskan maksud sebenar tiada lagi pencerobohan kapal tentera China selepas 100 hari dilantik ke jawatan itu hanya merujuk satu insiden.

“Saya bercakap dalam konteks reaksi kepada aktiviti West Capella, yang mana kapal peninjau bersama kapal pengawal pantai China yang hadir pada Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dari April hingga Mei.

“Ini diuruskan ketika 100 hari saya dalam kementerian dan kapal tersebut meninggalkan EEZ selepas usaha diplomatik secara intensif,” katanya.

Insiden West Capella

Mizan memuji usaha Hishammuddin berjaya mengelakkan perang tercetus di Laut China Selatan April lalu, susulan situasi panik membabitkan kapal West Capella.

“Ketegangan di kawasan ini bermula apabila Arapaiman-1 Blok ND1 dan Lala-Blok ND2, iaitu kawasan cari gali yang mula diusahakan Petronas beroperasi 6 Mac lalu.

“Situasi ini menyebabkan China menghantar kapal Haiyang Dizhi 8 ke kawasan berkenaan untuk menghambat Petronas keluar dari ‘kawasan’ mereka.

“China seperti sudah melaksanakan status Laut China Selatan sebagai wilayah ‘Nine Dash’ mereka.”

Beliau berkata, kapal China kemudiannya memasuki kawasan 200 batu EEZ Malaysia dan menghampiri jarak 8.5 batu dari kawasan cari gali Petronas.

Katanya, kapal perang AS dan Australia turut melakukan latihan bersama di Laut China Selatan, berdekatan kapal West Capella beberapa minggu selepas ketibaan Haiyang Dizhi 8 yang mencetuskan situasi panik di perairan itu.

Beliau berkata, keadaan itu memaksa Hishammuddin meminta semua pihak bertenang dan rundingan dilakukannya dipercayai berjaya meredakan keadaan tegang.

Katanya, kapal AS serta Australia kemudiannya berlayar pulang, tetapi bukannya China.

“Mereka (China) terus melakukan provokasi terhadap Petronas dan Malaysia amnya. Kapal Haiyang Dizhi terus kekal di perairan EEZ Malaysia sehingga menjadikan kerja Petronas terganggu.

“Kehadiran kapal pengawal pantai China juga semakin banyak direkodkan sepanjang Mei dan Jun lalu, termasuk di kawasan (kapal) West Capella (berada).”

Katanya, dakwaan tiada kapal China berada dekat kapal West Capella tidak tepat.

“Kapal China hanya beredar pada Mei.

“Tetapi, kalau hendak kata dia berjaya elak kapal China ganggu di Laut China Selatan itu tidak tepat,” katanya merujuk Hishammuddin.

Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan merupakan laluan perdagangan penting, dengan membina pulau buatan di terumbu karang, ada yang dilengkapi pelabuhan serta lapangan terbang kecil, menyebabkan anggota Asean berang.

China turut menempatkan tenteranya dan mengerahkan kapal ke Laut China Selatan yang turut dituntut Malaysia, Brunei, Vietnam, Filipina serta Taiwan. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker