‘MCA carilah kerusi lain selain Tanjung Malim’
TANJUNG MALIM – Barisan Nasional (BN) Tanjung Malim menegur pemimpin MCA dan anggota partinya agar berhenti ‘bermain wayang’ dan tidak lagi mengharapkan kerusi Parlimen itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Menerusi perkongsian di Facebook, Pengerusi BN Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, 60 daripada 63 Cawangan UMNO di kawasan itu telah mengusulkan supaya kerusi berkenaan ditandingi calon UMNO sendiri.
“UMNO Bahagian juga telah membawa usul itu ke Mesyuarat Perwakilannya dan telah diluluskan sebulat suara. Usul itu juga telah dipanjangkan ke BN dan UMNO Pusat. Siapa calonnya terpulanglah kepada pucuk pimpinan menentukan.
“Nasihat saya selaku Pengerusi BN Bahagian Tanjong Malim, sebaiknya mereka tidak persia-siakan masa yang semakin terbatas sebelum PRU15.
“Carilah kerusi lain yang lebih sesuai, MCA yang hebat itu boleh bertanding di banyak kerusi lain di negeri lain, termasuk Kepong, Damansara, Seremban, Kota Melaka yang majoriti pengundinya Cina,” katanya sepertimana ditulis semalam.
Beliau berkata, sejak seminggu lalu tersiar di media sosial beberapa foto pemimpin MCA sedang mengedarkan makanan ke sebuah perkampungan Orang Asli di kawasan DUN Behrang.
Menurutnya, dua hari lalu tersebar pula gambar bekas calon PRU14 dari parti MCA mengunjungi rumah bekas pemimpin UMNO yang telah menyertai Bersatu di Felda Besout.
“Tanpa pengetahuan UMNO Bahagian, ada pemimpin MCA menghantar hamper dan wang raya kepada sebilangan Ketua UMNO Cawangan beberapa hari sebelum Aidilfitri.
“Itulah antara pendekatan pimpinan baharu MCA Bahagian nak beli semula jiwa pemimpin Melayu bagi menebus dosa mereka memboikot calon BN dari MCA sendiri dalam PRU14 lalu,” katanya.
Mohd Khusairi berkata, UMNO tidak mungkin menerima mereka yang bersekongkol dengan pengkhianat yang turut sama menyebabkan kejatuhan BN di Pusat dan negeri dalam PRU14 lalu.
“Kita juga tak mahu perbuatan sabotaj itu berulang dalam PRU15 nanti, kalau masih mahu bertanding di Perak juga, pilihlah antara kerusi yang kini kosong setelah Gerakan meninggalkan BN termasuklah di Teluk Intan, Beruas dan Taiping,” katanya.
Pada 2018 lalu, sekumpulan individu berhimpun di Putrajaya bagi membantah keputusan pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan penyandang, Datuk Seri Ong Ka Chuan pada PRU14 sebaliknya diganti dengan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.
Mah Hang Soon yang juga Timbalan Presiden MCA tewas kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang dengan majoriti 5,358 undi.
Berdasarkan data 2013, pengundi Melayu mewakili 53 peratus daripada keseluruhan 64,499 pengundi diikuti Cina (27 peratus) dan India (14 peratus).
SH