UMNO disuruh berkorban, PPBM duduk saja ke?
Umno perlu banyak berkorban?
Pandangan di atas datang daripada Wan Saiful Wan Jan yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Pada dia, Umno juga mesti bersedia untuk hilang status “dominan” jika mahu Perikatan Nasional (PN) menang dalam PRU ke-15.
Saya ingin bertanya soalan mudah kepada Wan Saiful. Pengorbanan bagaimana yang Umno perlu lakukan di peringkat bahagian untuk Bersatu?
Apakah keputusan Umno meminjamkan ahli parlimennya untuk membentuk kerajaan PN bukan satu pengorbanan?
Semasa PRU ke-14, Bersatu hanya memenangi 13 kerusi berbanding Umno sebanyak 54 kerusi. Bersatu tinggal 12 kerusi apabila kalah teruk di pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Piai.
Bersatu hilang lagi lima kerusi apabila keanggotaan Dr Mahathir Mohamad dan empat yang lain terlucut.
Tetapi Bersatu masih bernyawa kerana jawatan perdana menteri dan penyertaan anggota parlimen lain yang melompat dari Umno, PKR dan bebas.
Hanya ada lima cawangan
Maka apa salahnya Bersatu yang berkorban dengan menyertai Muafakat Nasional tanpa syarat. Atau bubar sahaja Bersatu yang tidak ada akar umbi dan mereka masuk Umno seperti dilakukan Semangat 46 dulu.
Ada sanggup?
Baguslah Wan Saiful kini sudah berubah daripada seorang idealis (semasa memimpin Ideas dulu) kepada realis.
Memang ideal untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tetapi apabila Wan Saiful sendiri menjadi bos PTPTN, dia menjadi realis kerana memang mustahil melakukannya di ketika sumber kerajaan adalah terhad.
Umno realis apabila kalah pada PRU ke-14. Umno tidak menggunakan galah sejengkal untuk mengait dan menjolok buah.
Umno bermula dari grassroot untuk bangkit semula sehingga menang 5-0 dalam semua PRK yang terkemudian.
Justeru untuk menjadi dominan ia mesti berasaskan kekuatan di akar umbi. Layakkah Bersatu menjadi parti dominan di Mersing jika parti itu hanya ada lima cawangan saja di situ?
Bekas MB Johor dari Bersatu, Dr Sahruddin Jamal
Sanggupkah Bersatu Mersing berkorban semasa PRU ke-15 nanti supaya kerusi di situ ditandingi calon Umno kerana akar umbi Umno kuat dan Dr Latif Ahmad pun menang besar atas tiket Umno.
Bersatu tidak boleh menjadi parti dominan jika bergantung kepada kaedah membeli dan menawarkan jawatan kepada orang lain.
Ia akan menjadi parti yang fragile (rapuh) dan sentiasa berkonflik. Umno dan parti lain terpalit dengan senario seperti itu. Ini akan melemahkan PN.
Itu yang berlaku di Johor, Melaka dan Kedah. Bersatu hanya tinggal seorang menteri besar – iaitu di Perak – atas pengorbanan Umno yang ada 15 Adun.
Baguslah apabila Wan Saiful mahu mengembalikan kedudukan politik orang Melayu sebagai teraju kerajaan.
Dia sudah sedar dan realistik bila berkata “semasa era PH (Pakatan Harapan), mereka mengetepikan sentimen orang Melayu sehingga wujud ketidakstabilan.”
Itulah kekuatan BN. Kesaksamaan tidak cukup untuk menjadikan PN lebih baik daripada BN seperti didakwa Wan Saiful.
BN hidup hingga ke hari ini walaupun tinggal 42 kerusi kerana empat prinsip utama iaitu konsensus, moderation (kesederhanaan), kesaksamaan dan trust (kepercayaan).
Justeru pesanan saya pada Wan Saiful, jangan cuba menjadi dominan dengan menggunakan galah untuk mengait dan menjolok buah.
Berkorban, berkorban juga tapi jangan korbankan kawan.
Dr Puad Zarkashi
You must be logged in to post a comment.