Pemuda Umno gesa Saifuddin jawab isu pelantikan Eric Paulsen

Selepas PAS, kini Pemuda Umno pula menyuarakan desakan agar pelantikan peguam hak asasi Eric Paulsen sebagai ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) dibatalkan.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan asas dan rasional pelantikan itu dan meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tampil memberi penjelasan.

Beliau mendakwa Paulse pernah mengguris hati orang Islam dengan kenyataan berbaur penghinaan terhadap Islam, antaranya mendakwa khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme pada 2015.

“Jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda Umno beranggapan ramai lagi tokoh peguam atau aktivis yang sederhana dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Paulsen yang juga wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) antara 15 ahli MPKM.

Eric Paulsen
Asyraf berkata lagi, pihaknya berharap Saifuddin tidak mengulangi apa yang disifatkannya sebagai keterlanjuran ketika pentadbiran PH yang “kuat mempelopori dan mempromosi agenda meratifikasi Icerd, Statut Rom dan pelbagai konvenyen hak asasi manusia Antarabangsa” yang baginya akan menggugat kestabilan negara pelbagai agama dan kaum.

Terdahulu, Timbalan ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dan Ketua Penerangan Pusat PAS, Kamaruzaman Mohamad turut menggesa pelantikan Paulsen dibatalkan.

Paulsen ketika dihubungi semalam enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

“No comment. Lebih baik begitu (untuk tidak memberikan komen),” katanya kepada Malaysiakini.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker