Tasawuf bantu manusia ubati hati yang sakit
ILMU Tasawuf adalah satu jurus ilmu untuk mengenal sifat hati serta jiwa sama ada ia dipenuhi dengan sifat yang terpuji atau bahasa lazimnya sifat ‘mahmudah’ atau dipenuhi dengan sifat tercela atau ‘mazmumah.’ Manusia sememangnya tidak boleh lari daripada dua sifat berkenaan namun sudah menjadi tugas seorang hamba untuk melakukan penyucian hati supaya terhindar daripada sifat mazmumah seperti dengki, iri hati dan pelbagai titik hitam dalam hati.
Kita juga dikurniakan dengan anggota zahir antaranya mata digunakan untuk melihat, telinga untuk mendengar, lidah untuk berkata-kata, perut untuk merasai kenikmatan dunia, kemaluan untuk perkembangan zuriat yang halal dan tangan serta kaki. Namun, semua anggota ini perlulah dipelihara supaya tidak melakukan kerja-kerja atau perbuatan maksiat yang bukan sahaja tidak bertepatan dengan syariat malah bakal mengundang kemurkaan Allah SWT.
Manusia yang bergelar hamba ini perlu menjaga keseluruhan anggotanya daripada hawa nafsu dan memandu seluruhnya menerusi landasan iman. Penyebab utama untuk semua penyakit hati adalah tunduk serta selalu menurut kehendak hawa nafsu dan perbuatan untuk mengekangnya adalah menerusi amal ibadah dan pengetahuan takut kepada Allah SWT.
Menerusi firman Allah SWT bermaksud: “Nampakkah (Wahai Muhammad SAW) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya, tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?” (Surah Al-Furqan, ayat 43)
Oleh itu, ilmu Tasawuf dapat membantu sekalian manusia untuk mengubati hati yang sedang sakit. Jika dirujuk di dalam kitab Ihya Ulumuddin karangan Hujjatul Islam, Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa hati dianggap sakit apabila ia tidak berfungsi seperti mana diciptakan.
Kitab itu juga turut menjelaskan bahawa seseorang itu boleh mengetahui hatinya sedang sakit apabila melihat tanda:
1. Tidak mengetahui sesuatu dengan hikmah
2. Tidak mencintai Allah SWT dan tidak dapat merasakan kelazatan ketika beribadah kepada-Nya kerana tidak berzikir kepada-Nya dan tidak mengutamakan zikir itu daripada semua keinginan
3. Tidak mengutamakan akhirat daripada dunia
Dalam kitab ‘Tanwir al-Qulub fi Mu’amalah ‘Allam al-Ghuyub’, Sheikh Amin al-Kurdi menyatakan ada banyak hasil yang diperoleh daripada Tasawuf antaranya dapat mendidik hati dan mengetahui alam ghaib dengan perasaan rohani atau dengan perasaan hati.
Perkara ini dijelaskan lagi oleh Imam Sheikh Abu al-Hasan Asy-Syazuli bermaksud: “Tasawuf ialah mengajar jiwa untuk berta’abbud (beribadah) dan menyerahkannya kepada hukum hakam peraturan ketuhanan.” (Haqa’id an at-Tashawwuf)
Kesimpulannya, ia adalah suatu ilmu yang akan mendidik manusia untuk lebih mengenal akan Tuhannya dan membantu dirinya memelihara seluruh pancaindera untuk tunduk kepada iman serta takwa dan menjauhi ikutan hawa nafsu.
HM