Larikan mayat mangsa Covid-19 dari hospital

Jakarta: Hospital di Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan di rumah mayat selepas ramai sanak saudara melarikan mayat mangsa Covid-19 kerana mahu mengadakan upacara pengebumian mengikut tuntutan agama mereka.

Jurucakap polis tempatan, Ibrahim Tompo, berkata, ahli keluarga mangsa Covid-19 merampas secara paksa mayat yang sudah sedia dikebumikan mengikut protokol virus.

“Sekurang-kurangnya 33 individu ditahan dan mereka berdepan tujuh tahun penjara kerana melanggar peraturan kuarantin kesihatan.

“Bagi mengatasi masalah sama berulang, pihak berkuasa Makassar meletakkan lebih banyak kakitangan untuk mengawal hospital tempatan,” katanya.



Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila tersebar khabar angin mendakwa beberapa mayat dijadualkan dikebumi segera walaupun meninggal dunia kerana penyakit yang tiada kaitan dengan Covid-19.

“Ini menyebabkan keluarga dan penduduk tempatan marah. Jadi, mereka memutuskan untuk mengambil mayat secara paksa untuk dibawa ke rumah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa di Surabaya berkata, empat individu ditahan selepas saudara-mara merampas mayat yang disyaki mangsa virus itu dari hospital tempatan.

Untuk rekod, susulan penularan Covid-19, pihak berkuasa Indonesia menetapkan, mangsa Covid-19 mesti dibalut dengan plastik dan dikebumikan segera bagi mengelakkan penularan virus.



Tindakan itu kurang disenangi saudara-mara mangsa terutama yang beragama Islam, kerana tidak boleh memandikan dan mengkafankan jenazah sebelum dikebumi mengikut tuntutan agama.

Kerajaan juga menetapkan, keluarga di negara majoriti penduduk Islam itu juga tidak dibenarkan berkumpul atau berada lama di tanah perkuburan ketika mayat mangsa dikebumikan. – AFP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker