Dua harimau ‘tua’ di puncak bukit PH.
Dua ‘harimau’ di puncak bukit PH
Pepatah Cina ada menyebut, dua ekor harimau tidak boleh berada di atas satu puncak bukit.
Namun dalam politik, itulah yang kerap berlaku apabila dua atau lebih pemimpin hebat bersaing di atas puncak bukit yang sama. Baik UMNO, MCA, MIC, PKR, DAP dan Pas, semuanya tidak pernah sunyi dengan ngauman dan cakaran sang harimau untuk mengukuhkan kedudukan di atas puncak bukit itu.
Kerap kali kita mendengar mengenai Kem A, Kem B, warlord politik dan kartel-kartel.
Hakikatnya, Malaysia sudah lebih 30 tahun berpusar pada dua figura politik tersohor ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hari ini Malaysia mungkin akan tetap menyaksikan skrip yang sama berulang.
Tetapi kali ini persoalannya, antara Dr Mahathir dan Anwar, siapakah calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH)? Atau mungkin lebih mudah, siapakah yang bakal mengetuai PH yang melibatkan parti PKR, DAP, Amanah, Warisan dan serpihan Bersatu.
Bagi penganalisis politik daripada Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, beliau yakin PH pastinya akan memilih semula Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya kembali menerajui negara.
Menurutnya, sebagaimana sedia maklum Dr Mahathir sememangnya diterima oleh semua pihak dalam kalangan parti gabungan PH berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri.
“Bagi saya, berkemungkinan perbincangan telah dilakukan dan kata sepakat telah dicapai untuk kembali menamakan semula Dr Mahathir sebagai bakal Perdana Menteri.
“Begitupun, dalam masa yang sama sudah pastilah mereka juga telah menetapkan satu tempoh yang tepat iaitu selama manakah jika sekiranya Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, maka beliau akan memegang jawatan tersebut berdasarkan kepada tempoh masa yang telah dipersetujui dalam mesyuarat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, persetujuan daripada mereka yang hadir pada mesyuarat itu perlu didokumentasikan bagi mengelakkan pelbagai tafsiran pada kemudian hari.
Katanya, sekiranya Dr Mahathir terus dilantik sebagai Perdana Menteri nanti maka sudah pastilah ia akan memberikan kelebihan kerana beliau mempunyai pengalaman lebih kurang 22 tahun termasuk menerajui negara dalam tempoh dua tahun yang lalu.
“Dr Mahathir cukup berpengalaman dalam mentadbir negara dan pastinya beliau juga mempunyai visi tertentu yang perlu dilaksanakan.
“Ini agak berbeza dengan Anwar. Walaupun pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri selama lima tahun ketika di bawah pentadbiran Dr Mahathir, namun beliau sudah lama tidak berkecimpung dalam arena politik tempatan,” ujarnya.
Katanya, Anwar juga perlu meyakinkan orang Melayu dan bumiputera bahawa partinya akan tetap memberikan tumpuan kepada kebajikan orang Melayu.
“Jadi banyak perkara yang perlu dilakukan dan pastinya akan mengambil masa untuk meyakinkan masyarakat secara keseluruhannya.
“Maka dengan sebab itulah, saya merasakan berkemungkinan PH akan menamakan semula Dr Mahathir berdasarkan kepada keupayaan beliau untuk menarik sokongan segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Namun, persoalannya adakah Anwar akan bersetuju dan mengizinkan cadangan itu? Ini kerana semua orang tahu, beliau yang pernah digelar bakal Perdana Menteri kelapan sebenarnya ibarat hanya selangkah lagi untuk menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
Tetapi sewaktu krisis tarik tali dengan Dr Mahathir dalam mencari tarikh hari bersejarah itu, tiba-tiba sekumpulan Ahli Parlimen PKR dan Bersatu membuat keputusan mengejut keluar PH hingga menumbangkan kerajaan itu.
Menjawab teka-teki itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis berpendapat Anwar lebih sesuai menjadi Perdana Menteri sekiranya PH kembali membentuk kerajaan.
Katanya, sebelum ini Dr Mahathir sudah diberikan peluang oleh PH dan beliau sepatutnya menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sebelum ini, namun perkara itu tidak berlaku.
“Jadi jika PH kembali memerintah, Anwar patut diangkat sebagai Perdana Menteri selain beliau lebih faham dengan hala tuju dan gagasan PH.
“Malah faktor pengaruh Anwar yang disenangi pelbagai kaum juga mampu menyatukan PKR, DAP dan Amanah untuk berdepan dengan PN.
“Justeru, PH perlu memikirkan satu pertimbangan untuk mencipta keadaan menang-menang dalam kalangan semua pihak dengan mungkin melantik Dr Mahathir sebagai Menteri Kanan, Anwar sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Katanya, formula itu juga berkemungkinan akan menjadikan semua parti gabungan di bawah PH lebih tenteram dan boleh memberi tumpuan kepada apa yang sepatutnya dilakukan sebagai sebuah kerajaan sekiranya kembali memerintah.
Sementara itu, bagi bekas Naib Presiden MCA, Datuk Yap Pian Hon, beliau melihat kedua-dua figura tersebut memiliki kelebihan masing-masing untuk diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya PH kembali menerajui kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, mereka perlulah mendapat sokongan majoriti daripada 222 orang ahli Parlimen dan juga parti-parti yang bernaung di bawah PH.
“Semua orang tahu, sama ada Dr Mahathir atau Anwar, kedua-duanya mempunyai pengalaman yang cukup dan berkaliber dalam PH,” katanya.
Apatah lagi, kata Pian Hon, selain dua tokoh politik itu, beliau masih belum dapat melihat ada ikon yang lebih menonjol dalam kalangan ahli parti gabungan PH yang layak diangkat sebagai Perdana Menteri.
Namun, yang pasti dalam berteka-teki serta mesyuarat demi mesyuarat memilih calon Perdana Menteri daripada PH, gabungan itu perlu membuktikan satu perkara.
Tidak perlulah memiliki sehingga 129 kerusi seperti yang tersebar dalam gosip politik, cukuplah sekadar112 kerusi iaitu mencukupi syarat majoriti mudah. Persoalannya, mampukah PH mendapat sokongan 112 kerusi itu?
Sinar
You must be logged in to post a comment.