Umno tidak akan sertai PN secara rasmi, hanya MOU

‘Umno tolak sertai PN secara rasmi, apa langkah Muhyiddin nanti?’

Umno tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi jika gabungan itu didaftarkan pada masa akan datang, menurut anggota Majlis Tertinggi (MT) parti itu Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau mendakwa ia berbeza dengan hasrat Bersatu yang menurutnya ingin menjadikan PN sebagai pertubuhan rasmi.

“Ini semua untuk survival Bersatu. Tetapi Umno telah buat keputusan tolak pendaftaran PN sebagai badan formal.

“Umno tidak akan tandatangan. Maka apa langkah Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang seterusnya?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sebelum ini, dua pemimpin tertinggi Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan ada menyatakan Umno hanya akan menyokong PN di bawah Muhyiddin sehingga pilihan raya umum ke-15 sahaja.

MT Umno juga dilaporkan sebulat suara menolak untuk menyertai gabungan itu secara rasmi.

Bagaimanapun pada 17 Mei lalu, Bersatu bersama BN, PAS, GPS dan dua parti berasaskan Sabah menyatakan sokongan terhadap penubuhan PN melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.

Kenyataan tersebut ditandatangani Muhyiddin, Ahmad Zahid selaku pengerusi BN, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pengerusi GPS Abang Johari Openg, Presiden PBS Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR Jeffrey Kitingan.

Hujung bulan lalu pula, PN menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai pemimpin tertinggi semua anggota gabungan itu

Bagaimanapun Memorandum Persefahaman (MOU) PN dikatakan hanya untuk mencerminkan sokongan majoriti terhadap Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri, dan tidak bersifat mengikat.

PN dibentuk antara Umno, Bersatu dan PAS, serta disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) serta wakil bebas bagi menubuhkan kerajaan persekutuan.

Ia kemudian disusuli di peringkat negeri yang menyaksikan pertukaran pentadbiran di Johor, Melaka, Perak dan terbaru Kedah,

Malaysiakini sedang menghubungi Mohd Puad untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker